Isnin, 28 Mac 2011

Dakwah Orang Asli

Dakwah Orang Asli : Pengalaman Kelab PERKIM, UUM di Perkampungan Orang Asli Air Bah 1 & 2 Lenggong, Grik, Perak

(Dibentang di Seminar Kebangsaan Dakwah Saudara Kita, anjuran Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, pada 9-10 Oktober 2010, bertempat di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia)

Oleh :
Dr. Wan Ab Rahman Khudzri Wan Abdullah
Zaree Zakaria
Mohd Yusnaidi Md Sabri
Mohd Jelani Mohd Noor

Abstrak
Program Sinar Gemilang merupakan salah satu wasilah bagi Kelab PERKIM, UUM dalam usaha menyebar luaskan dakwah Islam kepada saudara-saudara baru iaitu anak-anak orang Asli serta menunjukkan cara hidup Islam yang sebenarnya kepada masyarakat di sana. Program ini bertujuan antaranya ialah memberi pendedahan kepada saudara baru berkenaan Islam serta pendidikan keagamaan yang akan memberi panduan kepada mereka untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian. Ianya juga bagi merealisasikan matlamat Kelab PERKIM, UUM dalam usaha dakwah di luar kampus. Selain itu, program ini dapat mewujudkan hubungan silaturahim di kalangan ahli Kelab PERKIM dengan masyarakat Orang Asli.

Pengenalan
Sebelum membincangkan projek dakwah dalam masyarakat Orang Asli tersebut di atas, kertas ini membincangkan sepintas lalu tentang konsep dakwah serta beberapa persoalan mengenainya.


Dakwah Islamiah
Menurut Abdul Karim Zaidan (1987) dakwah ialah panggilan ke jalan Allah seperti yang terkandung dalam firman Allah ayat 108 surah Yusuf, “katakanlah; “Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mngikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata”.

Dakwah adalah kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil manusia untuk beriman dan taat kepada Allah Subhaanahu wa Ta'ala sesuai dengan garis aqidah, syariah dan akhlak Islam. Kata dakwah merupakan masdar (kata terbitan) dari kata kerja da'a yad'u yang bererti panggilan, seruan atau ajakan. Kata dakwah sering dirangkaikan dengan kata "Ilmu" dan kata "Islam", sehingga menjadi "Ilmu dakwah" dan Ilmu Islam" atau ad-dakwah al-Islamiyah. (http://id.wikipedia.org/wiki/Dakwah)

Dakwah juga bermaksud ”usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia kepada mengenali Islam, menerima dan menghayatinya yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara dan pendekatan tertentu”. (Mohamad Shahir)

Tujuan utama dakwah ialah mewujudkan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat yang diredai oleh Allah. Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan contoh melakukan usaha dakwah kepada umatnya dengan berbagai cara melalui lisan, tulisan dan perbuatan. Dimulai berdakwah kepada isterinya, keluarganya, dan para sahabatnya hingga raja-raja yang berkuasa pada saat itu.

Dakwah juga bertujuan memberi bimbingan kepada manusia supaya menuju kepada keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Daripada usaha dakwah yang dilakukan, manusia diubah supaya berada dalam acuan Ilahi untuk menjamin kesejahteraan tersebut (Fariza et.al., 2006)

Hukum Berdakwah
Menurut Ibnu Taimiyyah, "hukum berdakwah ke jalan Allah adalah wajib ke atas setiap orang-orang yang mengikuti Nabi Muhammad SAW. Mereka merupakan umat Nabi Muhammad SAW. yang berdakwah ke jalan Allah seperti dakwah baginda SAW. Kewajiban ini merupakan kewajiban seluruh umat. Inilah yang dinamakan oleh para ulama sebagai fardhu kifayah; apabila sudah ada satu kelompok yang menegakkannya maka gugurlah kewajiban seluruh anggota masyarakat yang lainnya." Allah berfirman:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٠٤)

Ertinya "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan yang mencegah dari yang munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung." (Ali Imran: 104)

Menurut Bin Bazz, "para ulama menjelaskan bahawa berdakwah ke jalan Allah adalah fardhu kifayah , sekiranya tempat dan kawasan itu memerlukan kegiatan dakwah. Apabila sudah ada salah seorang yang menegakkannya, maka sudah mencukupi dan gugurlah kewajiban dakwah ke atas yang lain. Sebaliknya jika di suatu wilayah itu penduduknya tidak melakukan kegiatan dakwah dengan sempurna, maka semua penduduk tersebut berdosa dan semuanya dibebani kewajiban dakwah menurut kadar kemampuannya.

Ustaz Fathi Yakan dalam Maza Ya‘ni Intima’i Lil Islam menulis “Sebenarnya beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melainkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini. Seluruh amal ini dan lain-lain keperluan untuk amalan-amalan ini serta lain-lain perkara yang berkaitan yang dituntut oleh amal-amal ini adalah satu tuntutan syariat. Kewajipan melaksanakan tidaklah gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum muslimin.

“Selagi kekuasaan ini tidak wujud, maka seluruh kecuaian atau kecacatan para petugas amal Islam dan kecuaian orang yang tidak turut serta dalam kerja-kerja ini, menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.”

Unsur Dakwah
Untuk memastikan dakwah terlaksana, unsur-unsur atau rukun-rukun berikut mestilah wujud. Pertama, objek (subjek) dakwah. Kedua, juru dakwah (pendakwah). Ketiga, penerima dakwah (mad’u), dan keempat, metod serta media dakwah. (Zaidan, 1987)

Objek dakwah atau mauduk dakwah adalah perkara yang didakwahkan. Tentulah perkara yang diserukan ialah Islam dan seluruh kandungan ajarannya. Islam diseru supaya manusia beramal dengan seluruh perintah Allah. Inilah yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW sepanjang misi kerasulannya mengajar Islam, agama yang diredhai Allah SWT. (Ali Imran: 19)

Juru dakwah atau pendakwah adalah penggerak utama berlakunya usaha dakwah. Tanpa pendakwah, Islam yang indah, yang merupakan objek dakwah tidak akan tersebar. Oleh itu pendakwah yang berkesan sangat penting untuk kejayaan penyebaran Islam yang meluas. Bagi mencapai ini, para pendakwah perlu membina kekuatan dan keupayaan diri mereka supaya betul-betul kompeten. Beberapa persiapan penting yang perlu bagi seseorang pendakwah antara lainnya ialah memiliki ilmu yang luas, iman yang kuat dan mempunyai akhlak pendakwah yang tinggi. Dr. Yusuf al-Qaradhawi (1987) menyenaraikan tiga perkara perlu sebagai senjata para da’i iaitu senjata iman yang mantap, senjata akhlak yang ampuh dan senjata ilmu yang luas. Kalau ada yang keempat, ia adalah kekuatan dana.

Penerima dakwah atau disebut sebagai mad’u adalah sasaran kerja dakwah. Mereka adalah seluruh umat manusia seperti diisyaratkan dalam firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 157 dan surah Saba’ ayat 28 . Mereka mungkin terdiri dari kalangan al-mala’, jumhur, orang munafik, orang kafir, orang yang melakukan maksiat, orang jahil dan sebagainya. (Zaidan, 1987)

Metod berdakwah merangkumi peralatan dan kecekapan dalam melaksanakan kerja berdakwah. Kepandaian dan kemahiran berdakwah ini boleh diperolehi daripada sumber yang pelbagai seperti dari petunjuk al-Quran, sunnah rasulullah, sejarah orang terdahulu termasuk para sahabat, pendapat para fuqaha serta pengalaman masa lalu. (Zaidan, 1987)

Ciri-ciri Pendakwah
Bagi seseorang pendakwah, menyeru kepada kebaikan yang dia tidak melakukannya merupakan malapetaka yang besar. Malapetaka itu bukan hanya kepada para pendakwah sahaja tetapi akan memberi implikasi kepada dakwahnya. Keadaan itu akan membingungkan pemikiran orang ramai, kerana mereka mendengarkan kata-kata yang indah dan pada masa yang sama mereka menyaksikan perbuatan yang tercela, sehingga mereka menjadi bingung di antara perkataan dan perbuatan. Akhirnya semangat yang dipancarkan oleh akidah mereka menjadi redup, sinar yang dijelmakan oleh keimanan dalam hati mereka menjadi mati. Sudah tidak ada lagi kepercayaan kepada agama selepas hilangnya kepercayaan mereka kepada para pemimpin agama.
Demikianlah besarnya pengaruh kehadiran seseorang pendakwah dalam dunia ini. Bahkan ada kata-kata yang menyebut tanpa pendakwah, Islam yang indah tidak akan berkembang. Oleh itu para pendakwah perlu mempunyai ciri-ciri peribadi yang mantap untuk menjadikannya seorang yang berwibawa. Menurut Syeikh Dr ‘Ali Ab Halim Mahmud dalam kitabnya , Fiqh al-Dakwah al-Fardiyyah , seseorang pendakwah haruslah memiliki ciri-ciri berikut iaitu:
a. Ikhlas kerana Allah
b. Mempertingkatkan ilmu
c. Kena ada jalinan hubungan dengan Allah
d. Kena sealu mebaca kisah-kisah perjuangan orang-orang Islam yang terdahulu di kalangan para Nabi , sahabat, pejang-pejuan Islam dan lain lain
e. Kena selalu berdoa kpd Allah supaya bukakan hati manusia yang terlibat
f. Kena mempraktikkan Islam dalam hidup sebelum mengajak orang kepadanya
g. Bergabung dalam jamaah orang-orang Islam
h. Mengembangkan budaya ilmu dalam diri .
i. Mesti ada mentor yang dinamakan beliau sebagai qudwah mithaliyyah

Berdakwah Kepada Orang Asli
Masyarakat Orang Asli merupakan masyarakat pribumi yang mendiami kepulauan semenanjung Malaysia. Mengikut sejarah, kepulauan Melayu telah mula diduduki oleh manusia yang dipanggil Austronesian atau Malayo-Polynesia sekitar 5,000 tahun dahulu. Mereka ini dikatakan berasal daripada Selatan China (Yunan) dan Taiwan. Penghijrahan mereka ke selatan adalah secara ’sporadic’, ’irregular’ dan ’incremental’. Bermula dari Filipina menganjur ke pulau-pulau Indonesia sehingga ke penghujung tanah besar Asia, pulau-pulau Pasifik dan Madagascar.

Majoriti Orang Asli di Malaysia (termasuk kaum Bumiputera) yang menghuni kawasan Indo-Malaya sekarang ini adalah keturunan daripada manusia Austranesian awal ini. Hasil daripada Banci Penduduk JHEOA 2004, jumlah populasi Orang Asli Malaysia ketika ini ialah seramai 149,723 orang. Mereka terbahagi kepada tiga Kaum utama iaitu, Melayu Proto (Proto-Malay), Negrito dan Senoi yang membentuk 18 Rumpun Bangsa.

Perkembangan Islam dalam masyarakat Orang Asli bermula pada tahun 1980an apabila gerakan dakwah mula di giatkan ke kawasan pedalaman. Kebanyakan mereka yang memeluk agama Islam adalah hasil usaha para pendakwah yang tadak pernah letih dan jemu dalam usaha menyebarkan Islam. Pendakwah-pendakwah ini adalah terdiri dari pendakwah bebas, badan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ), Majlis Agama Negeri dan Badan bukan kerajaan. (Shamsulmuddin, 2010)

Method Dalam Dakwah Orang Asli
Menurut Shamsulmuddin (2010), dakwah adalah satu cabang ilmu yang dominan sifatnya. Keberkesanan dan kejayaannya bergantung kepada persembahannya yang mantap dan teruji. Oleh itu method serta pendekatannya haruslah praktikal. Aspek-aspek penting yang menyentuh persoalan pokok mengenai kehidupan, pemikiran, citarasa dan lain-lain unsur yang terangkum dalam alam budaya satu-satu etnik semestinya di fahami sebelum seseorang itu menampilkan diri di tengah-tengah kumpulan sasaran sebagai misi dakwah. Jika tidak sukar baginya untuk melaksanakan misi tersebut. Dalam kontek dakwah kepada kaum Asli, teknik dan pendekatan yang digunakan berbeza kerana suasana kehidupan, cara berfikir, persekitaran dan alam budaya mereka berbeza.

Beliau juga mengungkapkan pendekatan berdakwah kepada Orang Asli seperti terkandung di dalam buku Method Dakwah terbitan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Terdapat 5 tahap pendekatan yang digunakan sebagaiman berikut:

Tahap pertama: Mewujudkan suasana kemesraan yang erat dengan penduduk Asli. Sebagai contoh, Komunikasi menerusi pergaulan, lawatan rumah ke rumah, mengadakan majlis jamuan dan sebagainya. Pada tahap ini soal agama tidak di sentuh.

Tahap kedua: Pendakwah membuat intipan ke dalam hati kumpulan sasaran (Orang Asli) secara individu untuk mengenali samaada mereka punyai perasaan agama atau tidak. Ia dilakukan melalui perbualan tidak langsung dan semasa mereka kelihatan relaks. Contoh perbualan intipan, ”Apa pandangan kamu jika dunia tidak ada Matahari?” Atau, ”Boleh jadi suatu masa seluruh tanaman di dunia ini mogok tidak mahu mengeluarkan buah. Waktu itu apa akan jadi pada manusia dan kepada siapa mengharapkan pertolongan?”

Soalan ini akan mencetuskan rasa ingin tahu di kalangan mereka dan ingin dapatkan jawapan sebenar.

Tahap Ketiga : Mula menarik perbualan kepada isu agama dengan memperkenalkan apa sebenarnya agama Islam. Ia dilakukan umpamanya dengan membuat perbandingan antara agama Islam dengan agama-agama lain. Namun pada rumusannya perlu menegaskan agama Islam adalah untuk semua bangsa.

Perlu juga menjelaskan bahawa Islam itu agama yang mudah dan tidak berlawanan dengan fitrah kemanusiaan yang sedia ada dalam diri mereka.

Pada tahap ini perlu juga menyatakan amalan-amalan dan cara melakukan amalan-amalan wajib seperti sembahyang, puasa dan lain-lain.

Tahap Keempat: Setelah melalui tahap tiga, pendakwah harus memberi masa kepada kumpulan sasaran untuk berfikir dan membuat analisis sendiri tentang agama dalam tempoh tiga hari atau seminggu bergantung pada keadaan dan minat seseorang

Manakala pada pertemuan berikutnya, pendakwah meninjau pandangan komen mereka terhadap apa yang dibincangkan.Sekiranya jawapan positif, menunjukkan bahawa pintu untuk memujuk mereka kepada agama Islam mula terbuka. Mulai saat ini pendakwah perlu lebih kerap mendampingi individu berkenaan untuk memikat mereka kepad agama Islam.

Tahap Kelima: Memaklumkan kepada pihak yang berkenaan seperti Majlis Agama Islam untuk membuat lawatan dan penerangan khas kepada kumpulan sasaran yang mempunyai minat untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam dan berkecenderungan untuk memeluk Islam.

Setelah memeluk Islam satu tugas mencabar yang baru ialah untuk memastikan mereka menjadi Muslim yang baik, yang memahami ajaran Islam dan beramal secara istiqamah sebanyak mungkin ajaran tersebut. Inilah sebahagian pemantauan yang dilakukan di dalam Program Sinar Gemilang Kelab Perkim UUM.

Program Sinar Gemilang - Berdakwah Kepada Orang Asli
Program Sinar Gemilang siri ke 5 yang telah diadakan pada 8 hingga 11 Mei 2009 bertempat di Perkampungan Orang Asli RPS Air Bah 1 & 2 Lenggong, Grik. Perak Darul Ridhuan. Program ini dianjurkan oleh Kelab Perkim Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Pusat Islam UUM, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) negeri perak.
Matlamat utama program ini adalah untuk menyebar luaskan dakwah Islam kepada saudara-saudara baru iaitu anak-anak Orang Asli serta menunjukkan cara hidup Islam yang sebenarnya kepada masyarakat di sana.

Objektif
Secara khususnya apabila program ini dilaksanakan ia berhasrat mencapai objektif berikut:

a) Memberi pendedahan kepada saudara baru berkenaan Islam serta pendidikan keagamaan yang akan memberi panduan kepada mereka untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian.
b) Merealisasikan matlamat Kelab PERKIM dalam usaha dakwah di luar kampus.
c) Mewujudkan silaturahim di kalangan ahli Kelab PERKIM dengan masyarakat orang asli di samping memberi pendedahan tentang kepentingan ilmu agama kepada masyarakat di sana.

Alhamdulillah secara umumnya semua objektif yang digariskan untuk program ini dapat dicapai. Ahli Kelab PERKIM UUM telah berjaya menganjurkan suatu usaha misi dakwah di luar kampus. Program ini juga membolehkan hubungan dibina dengan pihak-pihak lain melalui bantuan yang diperolehi dari badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan. Usaha ini memberi kemahiran perhubungan dan pembinaan jaringan di kalangan ahli kelab dalam usaha menjayakan amal dakwah dalam masyarakat.

Hubungan silaturrahim antara peserta Program Sinar Gemilang 5 ini bersama masyarakat Orang Asli menampakkan kemajuan. Masyarakat Orang Asli terutamanya di kawasan jauh di atas bukit agak pemalu untuk berhadapan dengan masyarakat luar. Namun alhamdulillah, kehadiran peserta di sana telah diterima baik. Antara faktornya ialah kerana program siri ke 5 ini adalah susulan dari program siri ke 4 yang telah dilaksanakan pada bulan Febuari 2008 yang lalu dan kebanyakan peserta adalah peserta yang sama. Mereka masih dapat mengenali para peserta walaupun lebih setahun telah berlalu.

Dari segi penguasaan ilmu dan amalan Islam termasuk melaksanakan ibadat, memberikan gambaran bahawa usaha para pendakwah Islam masih banyak perlu dilakukan dalam kalangan orang Asli. Program Sinar Gemilang sekadar empat hari tidak mampu mengubah tahap peningkatan kefahaman dan amalan orang Asli di sini. Maklumat yang diperolehi, dalam tempoh setahun yang lalu dari Program Sinar Gemilang 4, Februari 2008, hanya ada satu program dakwah oleh para pendakwah Jabatan Agama ke kampung ini.

Walaupun pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) telah bertungkus lumus melaksanakan tugas dakwah, namun mereka sendiri mengalami kesukaran untuk bergerak ke beberapa ratus kampung masyarakat Orang Asli di seluruh Perak kerana bilangan mubaligh Islam yang bertugas terlalu kecil nisbahnya berbanding dengan jumlah kewujudan perkampungan Orang Asli di seluruh Perak.

Berhadapan dengan cabaran ini, tindakan-tindakan yang lebih berkesan perlu digembeling dan diteruskan melibatkan pelbagai pihak bagi menjayakan usaha dakwah kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Penyertaan
Program Sinar Gemilang 5 ini melibatkan seramai 80 penyertaan termasuk ahli Kelab PERKIM UUM, ahli Jawatan Pelaksana serta kakitangan dari Pusat Islam UUM. Program ini turut mendapat perhatian dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pusat Kesihatan Lenggong dengan menghantar beberapa wakil dari pihak mereka duduk bersama-sama kami dalam membantu melancarkan perjalanan program. Program ini mendapat penyertaan dari penduduk Orang Asli Kampung Air Bah 1dan 2 dari pelbagai peringkat usia dalam usaha mereka memeriahkannya.

Kekuatan Program
Program ini telah disertai oleh seramai 80 peserta ahli kelab Perkim UUM. Perserta ini adalah para pendakwah untuk menyantuni masyarakat Orang Asli sebagai para mad’u dalam program ini. Para pendakwah ini terasa mendapat kekuatan dengan sokongan dan dokongan pihak-pihak berikut:
a. Mendapat sokongan penuh oleh Timbalan Yang Di Pertua Perkim Kebangsaan iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Haji Ariffin Suhaimi serta beberapa pengiringnya. Beliau telah hadir dan merasai sendiri pengalaman bersama penduduk Orang Asli seterusnya merasmikan Program Sinar Gemilang kali ke 5 ini.

b. Unit Mubaligh Islam dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), telah hadir membantu sepanjang program seperti menguruskan kebajikan Orang Asli, penyediaan pengangkutan menuruni dan mendaki bukit, membeli bahan masakan dan turut memasak makanan untuk para peserta. Kehadiran Unit Mubaligh Islam dari JAIP seramai lebih kurang 15 orang benar-benar telah membantu para peserta.

c. Wakil dari wakil pegawai JAIP dan penasihat Kelab Perkim UUM turut hadir turun padang meninjau keadaan pada hari pertama program. Alhamdulillah, kehadiran mereka banyak memberi semangat kepada peserta untuk melakukan usaha dakwah yang terbaik bersama masyarakat Orang Asli di sana.

d. Semangat kami turut dilengkapkan dengan kehadiran beberapa orang ahli jawatankuasa Perkim Perak bagi meninjau keadaan serta memberi sokongan kepada peserta untuk meneruskan usaha dakwah selama 4 hari 3 malam.

e. Sokongan dan bantuan Pusat Islam, UUM dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang telah membantu dari segi tajaan makanan, kewangan dan tenaga yang dikerahkan.

Kerja dakwah yang dilakukan oleh para pendakwah di lapangan akan lebih berjaya jika mendapat sokongan dan dukungan pelbagai pihak terutamanya pihak yang bertanggung jawab.



Kelemahan Program
Walaupun program ini telah dapat dilaksanakan seperti yang dirancangkan namun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diambil pandang demi penambahbaikan program pada masa akan datang. Antara perkara yang perlu diberi penambahbaikan adalahseperti berikut:
a. Komitmen ahli jawatankuasa pelaksana: Ahli jawatan kuasa tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya kepada tugasan yang ditetapan kerana mempunyai kesibukan-kesibukan lain termasuk beban tugas akademik dan peperiksaan.

b. Perancangan kerja: Tugas dakwah merupakan tugas yang berat, maka ia memerlukan perancangan kerja bermula seawal mungkin, memerlukan ketelitian dan pembabitan yang menyeluruh. Ini kerana ia melibatkan banyak pihak, yang berada diberbagai tempat dan perlu berurusan pada masa yang berbeza-beza.

c. Kos. Program sebegini memerlukan perbelanjaan yang tinggi sedangkan sumbernya adalah terhad.

Pencapaian
Alhamdulillah, program ini merupakan program dakwah bil-hal yang memberangsangkan yang berjaya menghubungkan Kelab Perkim UUM dengan pelbagai pihak seperti Pusat Islam UUM, Perkim Kebangsaan, Perkim Negeri Perak, Kolej Perniagaan UUM, Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIP), Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Perak dan Jabatan Kesihatan Daerah Lenggong, Perak. Pihak-pihak ini telah memberi berbagai-bagai bantuan dan sumbangan kewangan, barangan dan sokongan yang benar-benar menyuntik semangat untuk meneruskan usaha dakwah ini.
Objektif utama ialah untuk mengubah cara hidup Orang Asli supaya mereka lebih mengaplikasikan nilai-nilai agama dalam kehidupan serta lebih mengambil berat aspek agama dalam hidup. Namun ia suatu yang sukar dicapai kerana, pendirian yang telah dipasak berpuluh tahun, masakan boleh diubah dalam beberapa hari sahaja. Walau bagaimanapun dengan kehadiran kami melalui program ini sejak setahun lalu sudah menampakkan peningkatan dari segi kesedaran beragama masyarakatOrang Asli di sana. Walaupun berada pada tahap yang rendah namun sudah ada beberapa pemuda orang asli yang mengikuti solat berjemaah, sudah ada wanita Orang Asli mengenakan pakaian menutup aurat yang lengkap, sudah ada kanak-kanak yang mula menghafal membaca sural Al-Fatihah.

Melalui program ini kesedaran mereka telah mulai timbul melalui program praktikal solat, ceramah dan sebagainya. Marilah kita terus berdoa dan berusaha agar lahirlah dari kalangan generasi masyarakat Orang Asli yang baru ini, masyarakat yang mula memikirkan soal agama dalam konsep kehidupan. Seterusnya biarlah generasi yang akan datang lebih baik dari generasi yang sediada sekarang ini dalam kesedaran dan melaksanakan ajaran agama dengan lebih meluas lagi.

Rujukan
Abdul Ghafar Don, Berhanundin Abdullah dan Zulkiple Abd. Ghani. Cetakan Kedua 2007. Dakwah dan Pengurusan Islam di Malaysia: Konsep dan Pelaksanaan.. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-503-7
Abdul Karim Zaidan. 1987. Dasar-dasar Ilmu Dakwah. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.
Al-Bayanuni, Muhammad Abu Al-Fath (1993), Al-Madkhal Ila "Ilm Al-Da'wah,beirut: Al-Risalah.
Drs. Zulpan Nasution, xx Asas-Asas Dakwah & Pendidikan Islam, Pustaka Jahabersa, ISBN: 983-077-450-3
Fariza Md. Sham, Othman Hj. Talib & Siti Rugayah Hj. Tibek (sunt.) 2006.Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-774-9.
http://kuliahfilsafat.wordpress.com/2009/08/28/dampak-intelektual-ilmu-dan-teknologi/
http://www.seasite.niu.edu/trans/indonesian/Concordance/con-problematika_dakwah.htm
Ibnu Taimiyyah dalam Daqaiqut Tafsir 3/288-289
Keraf A. S. & Dua, M. (2001). Ilmu Pengetahuaan: Sebuah Tinjauan Filosofis. Yogyakarta: Kanisius.
Manfaat Ilmu. http://pengetahuanumum.com/2008/11/28/manfaat-ilmu/
Marzoeki, D. (2000). Udaya Ilmiah dalam Filsafat Ilmu. Jakarta: Grasindo.
Mohamad Shahir bin Hj. Abdullah, http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=469
Muhammad Abduh, Abdul Arham Mat (2009) Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah
Nor Raudah Hj. Siren, Yusmini Mohd Yusof, Mahmudah Hj. Nawawi (Penyunting) 2006. Dakwah Islam Semasa: Konsep dan Pelaksanaan Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. ISBN : 9831003411
Suhid, Asmawati (2005) Pemantapan Komponen Akhlak Dalam Pendidikan Islam Bagi Menangani Era Globalisasi. Jurnal Kemanusiaan . pp. 118-108. ISSN 1675 – 1930
Syaikh Abdul Aziz bin Bazz dalam kitabnya Fadhlu ad-Da'wah ilallah wa Hukmuha hal. 14-16:
Shamsulmuddin b Ahmad Shah (2010) dalam http://ipesspirit.blogspot.com/2010/02/serulah-ke-jalan-tuhanmu-dengan-hikmat.html: ISLAM DALAM MASYARAKAT ORANG ASLI: SATU PERKEMBANGAN DI NEGERI KELANTAN
Wan Mohd Nor Wan Daud. 2005. Falsafah Dan Amalan Pendidikan Islam, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti MalayaISBN : 9831002415
Yusuf al-Qaradhawi. 1407/1987. Thaqafat al-Daiyyat. Beirut: Muassasat al-Risalat.
Zaidan, Abdul Karim (1976), Usul Al-Da'wah, Beirut: Muassasah Al-Risalah.Abu Zahrah, Muhammad (t.t), Al-Da'wah Ila Al-Islam, Mesir: Al-Fikr Al-Arabi.
Zuhriah Mohamad Juoi Membina Akhlak Mulia ISBN: 983-077-009-5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan