Selasa, 12 April 2011

Pekerja sosial di Felda

Pekerja sosial di Felda

Oleh Wan Ab Rahman Khudzri Wan Abdullah


ARKIB : 10/07/2007

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semasa berucap pada sambutan Jubli Emas Hari Peneroka 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) berkata, Felda memperuntukkan sejumlah RM1.68 juta sebulan bagi diagih-agihkan kepada 317 buah tanah rancangan Felda untuk kerja-kerja pengindahan dan penyenggaraan kampung dengan konsep ‘Komuniti Taman’ yang akan bermula tidak lama lagi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri lagi, salah satu teras yang dilaksanakan oleh Felda ialah menjadikan komuniti Felda sebagai masyarakat contoh luar bandar. Justeru, beliau berharap Felda perlu berubah wajah dan menjadi model terbaik.

Walaupun Felda telah berkembang dan memainkan peranan penting dalam menjayakan hasrat kerajaan dalam menyusun semula masyarakat, terdapat laporan-laporan mengenai masalah sosial yang berlaku di tanah-tanah rancangan tersebut.

Semua gejala ini berupaya menggugatkan hasrat murni kerajaan membina masyarakat sejahtera di tanah rancangan Felda.

Sumbang saran

Dalam tempoh menyambut ulang tahun Jubli Emas, semua pihak sewajarnya berganding bahu memberi sumbang saran ke arah pembaikan berterusan projek penempatan terbesar di dunia ini supaya masyarakat di sana semakin baik.

Satu daripada usaha yang boleh diberi perhatian ialah mewujudkan jawatan pekerja sosial di Felda. Di negara ini, jawatan itu lebih dikenali di hospital-hospital.

Di kebanyakan negara maju, profesion ini bukan sahaja wujud di hospital tetapi juga di sekolah-sekolah yang dikenali sebagai pekerja sosial sekolah dan di pelbagai institusi dalam masyarakat yang peranannya membantu menangani permasalahan yang semakin rencam.

Di sana para pekerja sosial diberikan lesen sebagai pengiktirafan kepada profesionalisme mereka.

Felda perlukan pekerja sosial untuk bersama-sama dengan pihak pengurusan, kaunselor, guru-guru, imam dan lain-lain mengenal pasti masalah dalam masyarakat Felda, menganalisis, mencari alternatif penyelesaian dan mencadangkan penyelesaian kepada kes-kes yang dirujuk kepada mereka.

Selain mengendalikan kes-kes yang dirujuk, mereka juga akan hidup bersama-sama ahli masyarakat untuk memberikan ‘penawar’ kepada gejala yang melanda anggota masyarakat.

Usaha-usaha begini boleh dilakukan dengan baik jika seseorang itu dilatih sebagai pekerja sosial dengan teratur.

Di Malaysia terdapat beberapa universiti yang menawarkan program kerja sosial untuk melahirkan para pekerja sosial terlatih iaitu di Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terdapat juga penawaran program ini khusus untuk perkhidmatan kesihatan di peringkat sarjana.

Jika pihak Felda mengambil kira cadangan ini maka akan wujud satu lagi perkongsian pintar antara Felda dengan universiti awam dalam negara ini.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0710&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive

Tiada ulasan:

Catat Ulasan