Selasa, 15 Mac 2011

Perkembangan Undang-Undang Islam di Kedah

Perkembangan Undang-Undang Islam di Kedah

oleh: Wan Ab Rahman Khudzri Wan Abdullah,
Mohd Afandi Salleh

Pendahuluan
Negeri Kedah Islam
Pengaruh Islam di Dalam Undang-Undang Kedah
Kolonialisme di Negeri Kedah
Islam Dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah
Undang-Undang Islam di Kedah Kini
Undang-Undang Islam di Kedah Masa Hadapan : Keperluannya
Pendahuluan

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan, akan tetapi lain-lain agama boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan

Sebelum kedatangan Inggeris undang-undang yang diikuti di negeri-negeri Melayu ialah undang-undang Islam dan adat Melayu yang sesuai. Mahkamah dalam kes Ramah lwn. Laton telah memutuskan bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang tempatan dan undang-undang negeri. Hal ini diperkuatkan lagi dengan bukti wujudnya kumpulan undang-undang Melayu lama seperti Undang-undang Melaka, Undang-undang Pahang, Undang-undang Kedah dan lain-lain yang ditadbirkan dalam pemerintahan Kesultanan Melayu.

Ketibaan Inggeris telah memberi tafsiran baru kepada kedudukan agama Islam. Tafsiran agama disamakan dengan pengertian agama Kristian. Dengan tafsiran itu pihak British telah dapat mempengaruhi undang-undang di Malaysia. Undang-undang Inggeris telah dimasukkan dan diterima oleh negeri-negeri Melayu.

Berikutan dengan itu undang-undang diperbuat mengikut contoh undang-undang Inggeris seperti Penal Code (Kanun Jenayah), Criminal Procedure Code (Kanun Acara Jenayah), Civil Procedure Code (Kanun Acara Sivil), Evidence Enactment (Enakmen Keterangan), Contract Enactment (Enakmen Kontrak) dan Land Enactment (Enakmen Tanah). Apabila hakim menghadapi masalah yang tidak boleh diselesaikan melalui undang-undang bertulis mereka kerap kali merujuk undang-undang Inggeris. Dengan cara demikian undang-undang lnggeris telah dimasukkan dengan menyeluruh ke dalam undang-undang di Malaysia. Setelah itu ia diperkukuhkan oleh Enakmen Undang-undang Sivil, 1937 yang diganti kemudiannya dengan Akta Undang-undang Sivil, 1957.

Setelah merdeka, kuasa mengenai perundangan Hukum Syarak ada diperuntukkan dalam Jadual ke 9, Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan. Dalam pada itu, telah terdapat perkara di mana Mahkamah Sivil boleh menjalankan bidang kuasanya sungguhpun perkara itu mengenai undang-undang diri dan keluarga orang-orang Islam. Umpamanya dalam tuntutan kerana kemungkinan kontrak pertunangan, tuntutan harta sepencarian, tuntutan hak penjagaan anak dan kesahtarafan anak.


Pada tahun 1988, pindaan dibuat ke atas Perkara 121 dengan memasukkan perkara 121(1A) merupakan langkah awal untuk menaikkan taraf dan kedudukan Mahkamah Syariah dan membebaskan campur tangan Mahkamah Sivil. Pada lahirnya perkara tersebut telah diatasi, namun terdapat banyak lagi konflik yang timbul

http://www.mykedah2.com/10heritage/102_3.html


Negeri Kedah Islam

Menurut al Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Negeri Kedah dibuka oleh Maharaja Durbar Raja dalam abad ke 11. Asalnya bernama Kalaha. Kalaha ialah nama satu suku kaum Kurdi, iaitu penduduk asli Iran yang berhijrah ke Nusantara dalam abad ke 10 dan 11. Sebutan yang tepat bagi suku kaum ini ialah Kalahar.

Menurut kitab, "Sinbad al Bahit" suku Kalahar tiba di Semenanjung dan mendarat di Kedah dan menamakan negeri itu mengikut nama sukunya iaitu Kalahar. Muhammad Hasaan dalam al Tarikh Salasilah Negeri Kedah menyebutnya Kalaha. Manakala, orang-orang Arab menyebutnya Kalah.

Suku-suku Kurdi berhijrah ke Nusantara bukan sahaja kerana berniaga atau berdagang tetapi juga kerana mencari tempat penghidupan yang damai dan tenang untuk beribadat. Keadaan dalam negeri mereka tidak sesuai untuk penghidupan mereka. Antara tempat yang menjadi tumpuan ialah kepulauan Melayu atau Nusantara.

Di sekitar 877 Masihi rumah-rumah orang Iran dan Arab di Kanton, China telah dimusnahkan oleh segerombolan pemberontak yang menentang kerajaan China. Saudagar-saudagar Islam yang tinggal sejak 200 tahun sebelumnya di Kanton dan berpengaruh di sana telah dibunuh beramai-ramai. Dianggarkan 200 ribu orang telah terkorban. Mereka kemudian berpindah ke Kemboja, Champa dan Kedah.

Sejak itu, Kedah menjadi sebuah daripada pelabuhan Seri Wijaya yang amat sibuk. Saudagar-saudagar Islam dan bukan Islam berkumpul di Kedah sebelum meneruskan pelayaran ke China atau pelabuhan lain di dunia sebelah sini. Pengembara-pengembara Arab meninggalkan beberapa catatan mengenai Kalah selepas 877.

Lebih kurang tahun 1000, Kerajaan Syi'ah di Iran memulakan gerakan memburu orang-orang Ahli Sunnah wal Jamaah dari bumi Iran. Kedudukan orang-orang Ahli Sunnah amat pincang dan terdesak sekali. Mereka terpaksa berhijrah besar-besaran ke tempat-tempat yang tidak boleh dipengaruhi oleh Syi'ah. Sebahagian besar daripada mereka sampai ke Nusantara dan pada masa itulah Merong Mahawangsa atau Maharaja Durbar Raja sampai ke Kedah.

Hikayat Merong Mahawangsa menyebut bahawa Raja Kedah yang pertama ialah Merong Mahawangsa iaitu seorang raja yang menjadi duta Maharaja Rom untuk membawa Putera Raja Rom berkahwin dengan Puteri Raja China. Dalam pelayaran, angkatan Merong Mahawangsa telah diserang oleh seekor burung Geruda di laut berhampiran Pulau Langkapuri. Angkatan Merong Mahawangsa yang "penuh laut" telah binasa melainkan kapal Merong Mahawangsa sendiri. Baginda terpaksa mendarat di pantai berhampiran kaki Gunung Jerai. Di situlah Baginda dirajakan oleh penduduk tempatan.

Benua Rom tempat asal Merong Mahawangsa yang dimaksudkan di sini ialah kawasan Empayar Parsi, satu ketika merupakan sebahagian daripada wilayah Empayar Roman Timur (Rom Orient), bukannya Itali. Kawasan Empayar Parsi inilah orang-orang Iran atau Parsi dan orang-orang Turki silih berganti menegakkan beberapa buah Kerajaan Islam yang kuat.

Menurut "al Tarikh Salasilah', raja Kedah yang pertama ialah Maharaja Durbar Raja yang berasal dari negeri Ghumrun dalam negara Parsi. Gamroon sekarang ialah sebuah pelabuhan di Laut Kaspian. Penduduk kawasan ini telah memeluk Islam sejak zaman Khulafa' al Rashidin lagi. Merong Mahawangsa dan Maharaja Durbar adalah orang yang sama.

Burung Garuda ialah kenderaan Dewa Wisnu dan menjadi satu lambang agama Hindu. Ini bermakna angkatan Merong Mahawangsa diserang oleh angkatan perang Hindu. Memang, sekitar abad 11 dan 12 Masihi, serangan-serangan angkatan Hindu ke atas angkatan Islam di Laut Arab dan Laut Hindi adalah perkara biasa.


Jika ditinjau dari sudut salasilah raja-raja Kedah berdasarkan kedua-dua buah buku; Hikayat Merong Mahawangsa dan al Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Raja Kedah yang pertama yang tiba di Kedah dalam pertengahan pertama abad ke 11 iaitu ketika kerajaan Seri Wijaya telah lemah.

Raja Merong Mahawangsa berkahwin dengan gadis dari kaum "Gergasi" dan menggalakkan rakyatnya berkahwin campur di antara kaum. Amalan ini tidak terdapat di kalangan penganut Hindu. Kaum "Gergasi"' ialah orang-orang asli yang dikenali sebagai "Orang Laut" dan masih ditemui di Pulau Andang dan Terutau di utara Langkawi.

Raja Kedah yang pertama telah memperkenalkan "Nobat" di istananya. Orkestra ini bukan berasal dari Hindu tetapi dari istana Sultan Harun al Rashid di Baghdad.

Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah meletakkan tarikh 531H atau 1136 M sebagai tahun Raja Kedah memeluk Islam dari Syeikh Abdullah Yamani. Sultan Islam yang pertama di Kedah bernama Sultan al Muzaffar Syah. Dalam Hikayat Merong Maha Wangsa nama Sultan Kedah pertama ialah Sultan Muzaffar Syah.

Dinasti Saljuq berketurunan Turki di bawah kerajaan Abbasiyyah di Baghdad yang berfahaman Ahli sunnah wal Jamaah mendirikan sebuah kerajaan di Byzantine dalam tahun 1091M. Orang-orang Saljuq ialah orang Islam yang awal menggunakan gelaran sultan kepada pemerintahnya. Sebagai sebuah negeri yang berfahaman Ahlissunnah wal jamaah, Kedah juga turut menggunakan gelaran Sultan dalam tahun 1136 M.


Pengaruh Islam di Dalam Undang-Undang Kedah

Undang-Undang Kedah

Undang-undang Kedah terdiri daripada beberapa bahagian. Bahagian pertama memperkatakan tentang undang-undang pelabuhan yang berkaitan dengan perdagangan sama ada dalam atau luar negeri.

Bahagian kedua dikenali sebagai Tembera Dato' Seri Paduka Tuan atau Undang-undang Seri Paduka Tuan. Ia mengandungi 16 fasal yang menumpukan perhatian kepada hukum-hukum bagi kesalahan mencuri, berjudi, berlaga ayam, menghisap candu, minum anak dan lain-lain.

Bahagian ketiga pula menerangkan tentang undang-undang dan peraturan dalam istana termasuk adat-istiadat, larangan-larangan yang mesti dipatuhi oleh rakyat, hak-hak istimewa golongan raja serta bidang kuasa seseorang pegawai yang dilantik.

Bahagian keempat agak bercampur-aduk kerana berbagai-bagai perkara dimasukkan ke dalam bahagian ini. Ia termasuklah tentang bunga mas, alat kebesaran masa pertabalan, adat meminang diraja, perihal tugas dan tanggungjawab pembesar negeri dan lain-lain.

Bahagian yang lain terdiri dan satu perenggan undang-undang yang diberi nama Undang-undang 1199 Hijrah. Sebenarnya, undang-undang ini berkaitan dengan harta benda. Terdapat peruntukan-peruntukan berkaitan hamba sahaya, orang merdeheka, tanah bendang, tanah kampung, tanah dusun, gajah dan kerbau. Undang-undang ini hanya dilaksanakan setelah 30 tahun diperkenalkan.

Secara keseluruhannya wujud persamaan antara Undang-undang Kedah ini dengan Hukum Kanun Melaka.


Pengaruh Islam dalam Undang-undang Kedah
Penentuan tarikh.
Undang-undang yang disuruh buat oleh raja adalah untuk negeri Islam.
Terdapat peruntukan memberi kuasa kepada syahbandar dan mata-mata menangkap pesalah dan dihukum dengan takzir raja.
Orang yang makan di khalayak pada bulan puasa ditangkap dan diberi makan rumput di hadapan balai atau dipukul atas kadarnya.
Hukum berkaitan jual beli, timbang-menimbang dan sukat-menyukat hendaklah sama berdasarkan nas "aufu mikyala wal mizana".
Menjelaskan peranan masjid.
Segala hukum bersesuaian dengan Islam dan diberitahu kepada rakyat setahun sekali.
Sebutan tentang "tanah mati" yang menjadi hal Allah taala dan seterusnya menjadi hak raja.
Disebut empat syarat raja-raja iaitu:


manis mukanya sentiasa bertitah pada segala hamba yang di bawahnya
titah tiada boleh berubah-ubah
kerja kebajikan disuruh segera kerjakan tiadalah kejahatan
kerja kejahatan disuruh beri jadikan kebajikan. Tatkala tetaplah empat perkara ini Allah swt menetapkan masanya raja-raja itu.


Terdapat juga hukum-hukum bagi kesalahan membunuh, qazaf, mencuri, pinjam-meminjam matrimoni, khiar, talak, berniaga yang haram, ikrar, murtad, syarat menjadi saksi dan hukum bersumpah yang selaras dengan hukum Islam

http://www.mykedah2.com/10heritage/102_3_p2.htm


Kolonialisme di Negeri Kedah

Penjajahan Inggeris di Tanah Melayu bermula dengan Negeri-negeri Selat. Manakala di Negeri-negeri Melayu yang lain, wujud satu corak penjajahan yang secara tidak langsung seperti penerimaan sistem residen ataupun penasihat Inggeris. Bagi negeri Kedah, selepas pendudukan Inggeris di Pulau Pinang pada tahun 1783, Kedah secara langsung telah 'terpaksa' akur kepada Inggeris. Kenyataan yang mengatakan Sultan Abdullah menjual Pulau Pinang kepada Inggeris dengan harga $10,000 adalah tidak benar sama sekali. Tetapi yang nyatanya, Sultan Abdullah dan seluruh rakyat Kedah telah ditipu secara kekerasan di dalam satu perjanjian dan menurut pendapat R. Booney, pengambilan Pulau Pinang adalah tidak sah sama sekali sama ada dari segi undang-undang negeri mahupun undang-undang antarabangsa. Perjanjian Persahabatan yang telah ditandatangani antara Kedah dan Inggeris pada tahun 1791 telah dibuat secara paksaan ataupun dengan erti kata muda 'diugut' setelah berkali-kali Sultan Abdullah dan rakyatnya cuba untuk mengambil kembali Pulau Pinang gagal. Mungkin ini disebabkan juga faktor Siam yang telah mengasak secara bertubi-tubi ke sempadan kedaulatan Negeri Kedah.

Walaupun demikian, Kedah masih lagi meneruskan pemerintahan dan pentadbiran sendiri dengan baik tetapi penguasaan yang dahulunya adalah bersifat tradisi telah dibatasi hanya di dalam persoalan agama Islam dan adat Melayu sahaja. Negeri Kedah yang kaya dengan hasil bumi pada zaman itu telah dipergunakan oleh Inggeris untuk mengaut keuntungan dengan rakusnya. Dengan itu, tidak hairanlah bagaimana Kedah telah diperkatakan sebagai sebuah negeri yang;

"Negeri ini (Kedah) diperintah dengan adil dan apa yang diperlukan untuk membolehkan pembangunannya ialah hanya sedikit kejujuran dan kepintaran dalam pentadbiran kewangannya. Dan segi pertanian, negeri ini amat kaya, dan jaminan untuk sebarang pinjaman wang kepadanya adalah mencukupi. Oleh itu, apa yang diperlukan ialah memulakan sistem yang sama seperti yang dibuat di India dan bukannya di negeri naungan Selat (Straits Settlements Protectorate), iaitu melantik seorang penasihat untuk Sultan Kedah dengan kuasa bertindak dalam hal-hal berkewangan tetapi hanya dengan kuasa memberikan nasihat dalam hal-hal pentadbiran."

Akibat dari itu, negeri Kedah, seperti negeri Melayu yang lain juga terikat dengan kehendak Inggeris di dalam semua pentadbiran sehinggalah di dalam masalah agama, kerana agama yang difahami oleh Inggeris adalah sempit terikat dengan kaca mata agama Kristian. Oleh itu, penasihat Inggeris yang dikatakan tidak akan masuk campur di dalam urusan agama dan adat Melayu adalah penipuan sama sekali. Ini terbukti apabila Inggeris telah mengubah dasar hukum kerajaan negeri Kedah yang telah lama melaksanakan undang-undang Islam kepada undang-undang sekular Inggeris. Lantas dengan ini wujudlah Kanun Jenayah (Penal Code), Enakmen Keterangan (Evidence Enactment), Enakmen Kontrak (Contract Enactment), Kanun Acara Sivil (Civil Procedure Code), Kanun Acara Jenayah dan Enakmen Tanah (Land Enactment). Dengan ini bidang-bidang seperti jenayah, kontrak, acara sivil dan jenayah, undang-undang tanah, dan undang-undang Islam yang lain bukan sahaja diabaikan bahkan dihentikan oleh Inggeris. Bermula dari itu, undang-undang Islam hanyalah dilaksanakan walaupun bukan sepenuhnya, di dalam urusan nikah dan kahwin sahaja. Hakikatnya, inilah yang telah diteruskan di Negeri Kedah walaupun beberapa positif telah berlaku.


Islam dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah

Berbeza dengan Undang-Undang Kedah, Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah adalah tertakluk dan terikat kepada Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, fasal-fasal yang menyentuh tentang agama Islam mestilah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan terutamanya di dalam Senarai Negeri Jadual 9. Namun begitu, sebahagian daripada peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah telah menunjukkan betapa agama Islam amat dititikberatkan. Antaranya ialah:

Fasal 10 (d) di dalam Bab Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja memperuntukkan seorang daripada lima orang lelaki yang mengangkat Raja adalah Yang Di Pertua majlis Agama Islam Negeri Kedah.
Fasal 11(2) menyentuh pemilihan Raja hendaklah tertakluk kepada Hukum Syarak iaitu syarat memilih bakal Raja mestilah seseorang yang tidak mempunyai sifat keji yang bertentangan dengan hukum Syarak.
Fasal 17(1) memperuntukkan Raja mestilah rakyat Kedah yang berketurunan Raja Kedah, berbangsa Melayu dan beragama Islam yang bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Fasal 18(3a) memperuntukkan tegahan diangkat pemangku Sultan atau Ahli Jemaah Pemangku Sultan yang bukannya berbangsa Melayu beragama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Fasal 27 juga memperturutkan waris takhta hendaklah seorang lelaki Melayu berketurunan Raja dan beragama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Fasal 33 A memperuntukkan agama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai Agama Rasmi Negeri. Manakala Fasal 33 B memperuntukkan raja adalah Ketua Agama Negeri tetapi Majlis Agama Islam hendaklah menolong dan menasihati raja di dalam hal yang bersangkutan dengan agama.
Fasal 35(2) di dalam Bahagian III memperuntukkan jawatan Menteri Besar adalah hanya untuk orang Melayu beragama Islam.
Fasal 36 (2) (a) juga memperuntukkan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri mestilah seorang Melayu beragama Islam.
Apa yang menarik daripada peruntukan-peruntukan di atas ialah, kesemua jawatan utama di dalam negeri adalah hak mutlak bangsa Melayu beragama Islam. Bahkan merujuk kepada fasal 11(2), pemilihan bakal Raja juga melihatkan peranan dan kepentingan Hukum Syarak di dalam menentukan keesaan seseorang Raja negeri Kedah. Begitu juga peranan Raja sebagai Ketua Agama, keputusan baginda yang berhubung dengan agama Islam bukanlah sesuatu yang boleh dibuat secara bersendirian. Peruntukan 33 B memberi ruang dan peranan ahli majlis Agama untuk menolong dan menasihati Raja. Di dalam hal ini, ruang untuk memperluaskan peranan agama Islam di dalam pentadbiran negeri adalah terbuka bergantung kepada budi bicara dan kepandaian serta diplomasi Ahli Majlis Agama Negeri menasihati Raja. Majlis Agama pula dibantu oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri yang bertindak sebagai agensi perlaksanaan dasar. Ia bertanggungjawab menyediakan program, skim atau projek untuk pertimbangan Majlis Agama dan juga mentadbirkan, merancang dan menyelaras segala dasar yang berhubung dengan agama Islam.

Undang-undang Islam di Kedah Kini

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, agama Islam, Undang-undang Islam dan Adat Melayu diletakkan di bawah kuasa negeri-negeri. Perenggan 1 dalam Senarai 2 (Senarai Negeri Jadual 9) Perlembagaan adalah seperti berikut:

1. Hukum Syarak
Kecuali mengenai wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk:

hukum syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat;
wakaf Islam dan takrif serta peraturan mengenai amanah dan perbadanan mengenai pemberian amanah khairat dan yayasan khairat yang dijalankan di dalam semua negeri;
adat istiadat Melayu;
zakat, fitrah dan baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya;
masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam;
mengada dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama Islam, terdapat rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan;
keanggotaan, penyusunan dan cara bagi Mahkamah-mahkamah Syariah, yang mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk di dalam perenggan ini tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan;
mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam;
menentukan perkara-perkara hukum syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu.
Berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan, negeri berkuasa menentukan sendiri pentadbiran undang-undang Islam. Bagi mengendalikan pentadbiran itu, terdapat sebuah Majlis Agama Islam dan Mahkamah Syariah sendiri. Terdapat beberapa masalah dalam mentadbir undang-undang Islam di peringkat negeri ini. Kuasa yang diberikan oleh Mahkamah Syariah adalah terhad. Mahkamah hanya "mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mengenai mana-mana kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh Undang-undang Persekutuan".

Undang-undang yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965. Mengikut akta itu, Mahkamah Syariah hanya berkuasa membicarakan perkara-perkara di mana hukuman yang boleh dikenakan tidak lebih daripada enam bulan penjara atau denda tidak melebihi RM1,000. Pada tahun 1984 ia dipinda menjadikan Mahkamah Syariah berkuasa membicarakan perkara-perkara di mana hukuman yang boleh dikenakan tidak lebih daripada tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebat tidak melebihi enam sebatan atau kedua-duanya sekali

http://www.mykedah2.com/10heritage/102_3_p3.htm


Undang-Undang Islam di Kedah Masa Hadapan: Keperluannya

Pentadbiran Undang-Undang Islam di Kedah

Pentadbiran undang-undang Islam di Negeri Kedah adalah diketuai oleh Baginda Tuanku Sultan Kedah atas pertolongan dan nasihat Ahli Majlis Agama Negeri. Melihat kepada realiti pentadbiran undang-undang Islam di Kedah hari ini, dirasakan banyak perkara yang perlu dipertingkatkan lagi. Terutamanya peningkatan dan pembangunan dari sudut infrastruktur yang baik dan tenaga kerja (man power) yang dinamik dan terlatih supaya perlaksanaan undang-undang Islam dapat dijalankan dengan baik dan teratur. Ini sejajar dengan apa yang diluahkan oleh Profesor Ahmad Ibrahim yang merasakan peningkatan dan penerimaan masyarakat kepada undang-undang sivil adalah kerana kemantapan infrastruktur dan tenaga kerjanya. Pendapatnya:
"Undang-undang Inggeris bukanlah diterima di Malaysia kerana keyakinan atau kerelaan orang-orang di Malaysia akan tetapi ia telah diterima oleh kerana ia telah dilaksanakan selengkap-lengkapnya. Untuk melaksanakannya telah diadakan antara lain mahkamah, hakim majistret, pendakwa, peguam, pegawai polis dan pegawai penjara. Sebaliknya, kita telah mengabaikan untuk mengadakan pegawai dan infrastruktur untuk perlaksanaan undang-undang Islam dan oleh kerana itulah timbul beberapa masalah dan teguran mengenai perlaksanaan undang-undang itu. Sungguhpun sesuatu undang-undang itu terbaik dan lengkap akan tetapi pelaksanaannya boleh menimbulkan masalah dan keraguan."

Dari sudut itu, dicadangkan agar pihak kerajaan negeri dapat bertindak dengan seberapa segera untuk memantapkan institusi undang-undang di negeri Kedah terutamanya pada:


Mahkamah

Apa yang dapat diperhatikan institusi Mahkamah Syariah - satu simbol yang amat penting kepada sistem undang-undang Islam sering mendapat tohmahan dan tanggapan yang negatif dari masyarakat Islam sendiri. Perkara ini terjadi bukanlah disebabkan oleh kerana kebencian kepada institusi itu sendiri. Tetapi kerana institusi tersebutlah memainkan peranan sebagai tempat menjalankan dan melaksanakan undang-undang Islam. Justeru itu, apabila timbul sesuatu kes yang melibatkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan ataupun kelewatan yang disebabkan oleh perkara-perkara teknikal, maka institusi tersebutlah yang menjadi tempat untuk dipersalahkan.

Apa yang mendukacitakan juga ialah berkenaan dengan status mahkamah syariah. Dengan setakat kuasa yang diberikan pada hari ini, ia tidak lebih daripada mahkamah majistret walaupun namanya adalah mahkamah tinggi syariah. Ini adalah kerana bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya amatlah kecil jika dibandingkan dengan mahkamah-mahkamah sivil.


Hakim

Masalah yang paling ketara di dalam pentadbiran Mahkamah Syariah negeri Kedah ialah kekurangan hakim yang bertauliah. Hingga ke hari ini, 9 jawatan Qadhi masih lagi belum diisi. Untuk mengambil alih tanggungjawab tersebut, hakim-hakim yang ada terpaksa berulang-alik ke daerah-daerah yang tiada jawatan tersebut. Justeru tidak hairanlah jika didapati banyak kes yang terpaksa ditangguh pengendaliannya.


Peguam Syarie

Tidak ramai lagi peguam syarie yang mantap penguasaan mereka terhadap kaedah hukum Islam semasa berhujah di Mahkamah Syariah. Ini mengakibatkan lembabnya perkembangan hukum Islam. Oleh itu, lebih ramai peguam syarie yang memahami kaedah hukum Islam diperlukan untuk memastikan perkembangan sistem hukum dan mahkamah Syariah lebih memberangsangkan lagi.


Halangan-halangan


Perlembagaan Persekutuan

Dan apa yang peruntukan di dalam Senarai 2 jadual 9, kelebihan yang diberikan kepada negeri ataupun sebenarnya kepada mahkamah syariah adalah terhad dan terkongkong di dalam kepompong undang-undang keluarga untuk orang Islam sahaja. Badan perundangan negeri juga mempunyai kuasa untuk menggubal apa-apa undang-undang yang bersangkutan dengan Islam tetapi bidang kuasanya tertakluk kepada Undang-Undang Persekutuan.


Perkembangan Terakhir

Seperti negeri-negeri lain yang telah melakukan perubahan di dalam bentuk pentadbiran undang-undang Islam, Kedah juga mengambil tempat di dalam perubahan yang membangun itu. Sehubungan dengan itu, terdapat sepuluh enakmen yang telah diluluskan dan dikuatkuasakan bagi pembicaraan di Mahkamah Syariah Negeri Kedah. Enakmen-enakmen tersebut ialah:


Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah no. 9 Tahun 1962 (Berkuat kuasa pada 4 Oktober 1965)
Enakmen Keluarga Islam 1979 Negeri Kedah Bil. 1 1984 (Berkuat kuasa pada 1 Januari 1985)
Atur-cara Mal Islam 1979 Negeri Kedah. Bil. 2 tahun 1984. (Berkuat kuasa pada 1 Januari 1985)
Enakmen Mahkamah Syariah 1993 Negeri Kedah. Bil. 4. Tahun 1994 (Berkuat kuasa pada 1 Januari 1996)
Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1988 (Enakmen no. 8 tahun 1988)
Enakmen Acara Jenayah Syariah, 1988 (Enakmen no. 3 tahun 1989)
Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988(Enakmen no. 9 tahun 1988)
Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 (Enakmen no.11 tahun 1988)
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1989 (Enakmen no. 8 tahun 1990)
Undang-Undang Zakat tahun 1955 (1374)
Undang-Undang No 4 tahun 1955 (1374)
Peraturan menurut seksyen 9
Peraturan-peraturan Zakat tahun 1982 (Berkuatkuasa pada 25 Oktober 1982)
Walaupun kelulusan dan penguatkuasaan undang-undang Islam di Negeri Kedah telah menunjukkan undang-undang Islam telah menjalani proses perkembangan yang menggalakkan, tetapi ia masih lagi memerlukan banyak lagi perubahan seperti latihan intensif kepada pegawai dan hakim syarie tentang hal-hal berkenaan prosedur dan pentadbiran, skim gaji yang menggalakkan. Dalam hal yang sama, sistem rekod perlulah dikemaskini supaya memudahkan pihak mahkamah dan orang ramai, penerbitan makalah ataupun laporan undang-undang contohnya Laporan Undang-Undang Islam Negeri Kedah, dan lain-lain lagi yang perlu diselidiki dari semasa ke semasa. Walaupun begitu, keputusan Kedah tidak menyertai negeri-negeri lain di dalam Penyelarasan Mahkamah Rayuan di peringkat persekutuan masih lagi menjadi tanda tanya dan memerlukan jawapan yang meyakinkan.

http://www.mykedah2.com/10heritage/102_3_p4.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan