Selasa, 29 Mac 2011

Peranan dan Sumbangan Ahli Akademik Dalam Perkembangan Dakwah Islamiah di IPT dan Komuniti

Peranan dan Sumbangan Ahli Akademik
Dalam Perkembangan Dakwah Islamiah di IPT dan Komuniti


[Kertas ini dibentangkan di Seminar Kebangsaan Dakwah Islamiah Di IPT dan Komuniti anjuran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pada 2 – 3 Disember 2009.]


Wan Ab Rahman Khudzri Wan Abdullah

ABSTRAK

Tujuan dakwah adalah untuk melakukan perubahan kepada masyarakat dan anggotanya. Perubahan dalam masyarakat (dan komuniti) bermula dari perubahan para anggotanya. Asas kepada perubahan ilmu dan keinginan untuk berubah. Ahli akademik adalah para guru yang menyampaikan ilmu kepada anggota masyarakat. Dengan asas ilmu manusia berubah dan merubah.

Pengenalan

Kertas ini akan membincangkan tentang peranan ahli akademik dalam berdakwah di kampus dan komunitinya. Sebelum masuk membincangkan aspek tersebut, kertas ini membincangkan sepintas lalu tentang dakwah serta beberapa persoalan mengenainya.

Dakwah Islamiah

Menurut Abdul Karim Zaidan (1987) dakwah ialah panggilan ke jalan Allah seperti yang terkandung dalam firman Allah ayat 108 surah Yusuf, “katakanlah; “Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mngikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata”.

Dakwah adalah kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil manusia untuk beriman dan taat kepada Allah Subhaanahu wa Ta'ala sesuai dengan garis aqidah, syari'at dan akhlak Islam. Kata dakwah merupakan masdar (kata terbitan) dari kata kerja da'a yad'u yang bererti panggilan, seruan atau ajakan. Kata dakwah sering dirangkaikan dengan kata "Ilmu" dan kata "Islam", sehingga menjadi "Ilmu dakwah" dan Ilmu Islam" atau ad-dakwah al-Islamiyah. (http://id.wikipedia.org/wiki/Dakwah)

Dakwah ialah ”usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia kepada mengenali Islam, menerima dan menghayatinya yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara dan pendekatan tertentu”. (Mohamad Shahir)

Tujuan utama dakwah ialah mewujudkan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat yang diredai oleh Allah. Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan contoh melakukan usaha dakwah kepada umatnya dengan berbagai cara melalui lisan, tulisan dan perbuatan. Dimulai berdakwah kepada isterinya, keluarganya, dan para sahabatnya hingga raja-raja yang berkuasa pada saat itu.

Dakwah juga bertujuan memberi bimbingan kepada manusia supaya menuju kepada keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Daripada usaha dakwah yang dilakukan, manusia diubah supaya berada dalam acuan Ilahi untuk menjamin kesejahteraan tersebut (Fariza et.al., 2006)

Hukum Berdakwah

Menurut Ibnu Taimiyyah, "hukum berdakwah ke jalan Allah adalah wajib ke atas setiap orang-orang yang mengikuti nabi s.a.w. Mereka merupakan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang berdakwah ke jalan Allah seperti dakwah baginda s.a.w. Kewajiban ini merupakan kewajiban seluruh umat. Inilah yang dinamakan oleh para ulama sebagai fardhu kifayah; apabila sudah ada satu kelompok yang menegakkannya maka gugurlah kewajiban seluruh anggota masyarakat yang lainnya." Allah berfirman:


وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٠٤)

Ertinya "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan yang mencegah dari yang munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung." (Ali Imran: 104)

Menurut Bin Bazz, "para ulama menjelaskan bahawa berdakwah ke jalan Allah adalah fardhu kifayah , sekiranya tempat dan kawasan itu memerlukan kegiatan dakwah. Apabila sudah ada salah seorang yang menegakkannya, maka sudah mencukupi dan gugurlah kewajiban dakwah ke atas yang lain. Sebaliknya jika di suatu wilayah itu penduduknya tidak melakukan kegiatan dakwah dengan sempurna, maka semua penduduk tersebut berdosa dan semuanya dibebani kewajiban dakwah menurut kadar kemampuannya.

Ustaz Fathi Yakan dalam Maza Ya‘ni Intima’i Lil Islam menulis “Sebenarnya beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melainkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini. Seluruh amal ini dan lain-lain keperluan untuk amalan-amalan ini serta lain-lain perkara yang berkaitan yang dituntut oleh amal-amal ini adalah satu tuntutan syariat. Kewajipan melaksanakan tidaklah gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum muslimin.

“Selagi kekuasaan ini tidak wujud, maka seluruh kecuaian atau kecacatan para petugas amal Islam dan kecuaian orang yang tidak turut serta dalam kerja-kerja ini, menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.”

Unsur Dakwah

Untuk memastikan dakwah terlaksana, unsur-unsur atau rukun-rukun berikut mestilah wujud. Pertama, objek (subjek) dakwah. Kedua, juru dakwah (pendakwah). Ketiga, penerima dakwah (mad’u), dan keempat, metod serta media dakwah. (Zaidan, 1987)

Objek dakwah atau mauduk dakwah adalah perkara yang didakwahkan. Tentulah perkara yang diserukan ialah Islam dan seluruh kandungan ajarannya. Islam diseru supaya manusia beramal dengan seluruh perintah Allah. Inilah yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah sepanjang misi kerasulannya mengajar Islam, agama yang diredhai Allah s.w.t. (Ali Imran: 19)

Juru dakwah atau pendakwah adalah penggerak utama berlakunya usaha dakwah. Tanpa pendakwah, Islam yang indah, yang merupakan objek dakwah tidak akan tersebar. Oleh itu pendakwah yang berkesan sangat penting untuk kejayaan penyebaran Islam yang meluas. Bagi mencapai ini, para pendakwah perlu membina kekuatan dan keupayaan diri mereka supaya betul-betul kompeten. Beberapa persiapan penting yang perlu bagi seseorang pendakwah antara lainnya ialah memiliki ilmu yang luas, iman yang kuat dan mempunyai akhlak pendakwah yang tinggi. Dr. Yusuf al-Qaradhawi (1987) menyenaraikan tiga perkara perlu sebagai senjata para da’i iaitu senjata iman yang mantap, senjata akhlak yang ampuh dan senjata ilmu yang luas. Kalau ada yang keempat, ia adalah kekuatan dana.

Penerima dakwah atau disebut sebagai mad’u adalah sasaran kerja dakwah. Mereka adalah seluruh umat manusia seperti diisyaratkan dalam firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 157 dan surah Saba’ ayat 28 . Mereka mungkin terdiri dari kalangan al-mala’, jumhur, orang munafik, orang kafir, orang yang melakukan maksiat, orang jahil dan sebagainya. (Zaidan, 1987)

Metod berdakwah merangkumi peralatan dan kecekapan dalam melaksanakan kerja berdakwah. Kepandaian dan kemahiran berdakwah ini boleh diperolehi daripada sumber yang pelbagai seperti dari petunjuk al-Quran, sunnah rasulullah, sejarah orang terdahulu termasuk para sahabat, pendapat para fuqaha serta pengalaman masa lalu. (Zaidan, 1987)

Ciri-ciri Pendakwah
Bagi seseorang pendakwah, menyeru kepada kebaikan yang dia tidak melakukannya merupakan malapetaka yang besar. Malapetaka itu bukan hanya kepada para pendakwah sahaja tetapi akan memberi implikasi kepada dakwahnya. Keadaan itu akan membingungkan pemikiran orang ramai, kerana mereka mendengarkan kata-kata yang indah dan pada masa yang sama mereka menyaksikan perbuatan yang tercela, sehingga mereka menjadi bingung di antara perkataan dan perbuatan. Akhirnya semangat yang dipancarkan oleh akidah mereka menjadi redup, sinar yang dijelmakan oleh keimanan dalam hati mereka menjadi mati. Sudah tidak ada lagi kepercayaan kepada agama selepas hilangnya kepercayaan mereka kepada para pemimpin agama.
Demikianlah besarnya pengaruh kehadiran seseorang pendakwah dalam dunia ini. Bahkan ada kata-kata yang menyebut tanpa pendakwah, Islam yang indah tidak akan berkembang. Oleh itu para pendakwah perlu mempunyai ciri-ciri peribadi yang mantap untuk menjadikannya seorang yang berwibawa. Menurut Syeikh Dr ‘Ali Ab Halim Mahmud dalam kitabnya , Fiqh al-Dakwah al-Fardiyyah , seseorang pendakwah haruslah memiliki ciri-ciri berikut iaitu:

a. Ikhlas kerana Allah
b. Mempertingkatkan ilmu
c. Kena ada jalinan hubungan dengan Allah
d. Kena sealu mebaca kisah-kisah perjuangan orang-orang Islam yang terdahulu di kalangan para Nabi , sahabat, pejang-pejuan Islam dan lain lain
e. Kena selalu berdoa kpd Allah supaya bukakan hati manusia yang terlibat
f. Kena mempraktikkan Islam dalam hidup sebelum mengajak orang kepadanya
g. Bergabung dalam jamaah orang-orang Islam
h. Mengembangkan budaya ilmu dalam diri .
i. Mesti ada mentor yang dinamakan beliau sebagai qudwah mithaliyyah

Ahli Akademik, Pendakwah

Ahli akademik (akademia , pensyarah, dosen, guru ) adalah pendidik profesional dan ilmuwan dengan tugas utamanya adalah untuk mentransformasi, mengembang, dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan, teknologi, dan seni melalui pendidikan, penelitian, dan pengabdian kepada masyarakat. (http://id.wikipedia.org/wiki/Dosen)


Para ahli akademik bertugas dan bertanggung jawab mengajar ilmu dan mendidik serta membimbing para pelajar membina kehidupan mereka. Dengan ilmu dan bimbingan yang dilakukan perubahan dalam hidup para pelajar (murid) tadi berlaku sedikit demi sedikit; bermula dengan perubahan dalam falsafah, pemikiran dan nilai hidup, seterusnya perubahan dalam amalan hidup secara menyeliruh. Dengan peranan ini ahli akademik telah menjadi seorang pendakwah dan murabbi yang sebenarnya.

Dalam Islam peranan sebagai guru itu sangat penting sekali bahkan ia lebih dahulu dan utama dari peranan belajar. Terdapat banyak nas-nas yang boleh dirujuk menjelaskan perkara ini, antaranya:

Ayat 122, surah al-Taubah:

وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ ڪَآفَّةً۬‌ۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٍ۬ مِّنۡہُمۡ طَآٮِٕفَةٌ۬ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِى ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡہِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ (١٢٢)

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Ayat 32, surah Fussilat:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلاً۬ مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحً۬ا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ (٣٣)

Ertinya: “Dan siapakah lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)?”

Ayat 125, surah al-Nahl:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِ‌ۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ‌ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۖ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ (١٢٥)

Ertinya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.”

Ayat 151, surah al-Baqarah:

كَمَآ أَرۡسَلۡنَا فِيڪُمۡ رَسُولاً۬ مِّنڪُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡكُمۡ ءَايَـٰتِنَا وَيُزَكِّيڪُمۡ وَيُعَلِّمُڪُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِڪۡمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمۡ تَكُونُواْ تَعۡلَمُونَ (١٥١)

Ertinya: “(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”


Ayat 187, surah Ali ’Imran:

وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَـٰقَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ لَتُبَيِّنُنَّهُ ۥ لِلنَّاسِ وَلَا تَكۡتُمُونَهُ ۥ فَنَبَذُوهُ وَرَآءَ ظُهُورِهِمۡ وَٱشۡتَرَوۡاْ بِهِۦ ثَمَنً۬ا قَلِيلاً۬‌ۖ فَبِئۡسَ مَا يَشۡتَرُونَ (١٨٧)

Ertinya: “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.”

Ayat 283, surah al-Baqarah

وَلَا تَكۡتُمُواْ ٱلشَّهَـٰدَةَ‌ۚ وَمَن يَڪۡتُمۡهَا فَإِنَّهُ ۥۤ ءَاثِمٌ۬ قَلۡبُهُ ۥ‌ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ عَلِيمٌ۬ (٢٨٣)

Ertinya: “dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Selain ayat-ayat al-Quran terdapat banyak hadis-hadis yang menjelaskan tanggung jawab mengajar, jangan menyembunyikan ilmu atau keterangan, dan kelebihannya di sisi Allah taala.

Secara praktikalnya para akademia telah mengajar para pelajar mereka berbagai-bagai ilmu sama ada ilmu agama atau lainnya. Ilmu adalah kebenaran, dan kebenaran itu berpunca dari Allah s.w.t. Terdapat juga nas yang mengatakan ilmu itu nur, dan nur itu adalah nur Allah s.w.t. Kemuncak kepada pencarian ilmu bagi seseorang pelajar ialah mengenali Allah s.w.t. dengan segala kehebatannya. Oleh itu jika benar proses ini berlaku, di penghujung perhubungan pelajar dengan para akademia, para pelajar tadi telah berubah dari seorang biasa menjadi seorang mukmin yang mantap imannya dan kuat amal dan interaksinya dengan Allah jalla wa ’ala. Bukankah ini yang ingin dicapai oleh seorang pendakwah dalam kerja dakwahnya?

Ilmu adalah asas kepada perubahan dalam diri manusia dan masyarakat. Manfaat ilmu bagi manusia tidak terhitung banyaknya. Sejak Nabi Adam hingga sekarang, dari semasa ke semasa ilmu telah mengubah manusia dan peradabannya. Kehidupan manusia pun menjadi lebih dinamis dan maju. Dengan penguasaan ilmu yang meluas, manusia senantiasa:
• mencari pengetahuan baru serta menelaah cara-cara hidup yang lebih baik dari sebelumnya,
• menemui jawaban-jawaban terhadap persoalan hidup yang mereka hadapi.
• menggunakan penemuan-penemuan baru itu untuk membantu dalam menjalani aktiviti-aktiviti harian dalam hidup.
• manusia juga menjadi lebih aktif memafaatkan penggunaan akal untuk sentiasa mengembangkan ilmu yang diperoleh dan yang dipelajarinya.

Jadi, berkat ilmu yang diajar oleh para ahli akademik dan guru-guru, manusia menjadi lebih mengenali Tuhannya, mengetahui sesuatu hal berbanding sebelumnya, dapat melakukan banyak amal kebaikan dalam berbagai aspek kehidupan dan menjalani kehidupan dengan lebih sejahtera.

Peranan Ahli Akademik sebagai pendakwah
Di universiti para ahli akademik mempunyai beberapa peranan dan sangat berkait peranannya sebagai pendakwah yang berfungsi mengajak masyarakat kampus dan komunti sekitarnya mendekati, memahami, mencintai, mengamal dan mendokong agama Allah s.w.t.

Peranan paling utama ialah melalui pengajaran. Pengajaran dilakukan di dalam kelas / kuliah di dalam kampus, di luar kampus ketika memenuhi jemputan dari komuniti; di masjid, surau serta tempat-tempat lain. Ahli akademik menunjangi tradisi ilmu, memahami, menghayati, mengamal dan menyebar untuk kesejahteraan manusia sejagat melalui tugas pengajaran. Melalui pengajaran ini ahli akademik menyampaikan ilmu yang mendorong seluruh pelajarnya memahami kebenaran yang terkandung di sebalik falsafah ilmu tersebut (contoh falsafah ilmu akan dihurai di bawah – manfaat ilmu pengetahuan).

Peranan lain adalah sebagai penyelidik. Penyelidikan sebagai kegiatan penemuan maklumat dan penghasilan reka cipta yang memberi jawapan kepada persoalan, masalah dan hipotesis merupakan fungsi ilmiah staf akademik yang menyumbang kepada peningkatan ilmu pengetahuan. Dengan penemuan baru, masyarakat boleh diyakinkan tentang kekuasaan Allah lantas semakin bertambah tingkat keiman mereka.

Para ahli akademik juga berkarya melalui penulisan. Penulisan adalah aktiviti mendokumen hasil kesarjanaan atau kepakaran staf yang terhasil daripada penghayatan ilmu dalam sesuatu bidang. Penerbitan atau penulisan termasuk semua bentuk karya ilmiah (rencana, esei, kertas kerja, ulasan buku, laporan, bahan kuliah, prosiding seminar dan persidangan dan sebagainya) yang diterbitkan dalam bahan bercetak seperti buku, ensiklopedia, jurnal, majalah, akhbar serta juga dalam bentuk rakaman seperti pita rakaman, video dan sebagainya. Melalui penulisan banyak mesej dakwah disampaikan kepada khalayak pembaca. Dalam keadaan-keadaan tertentu, hasil penulisan sangat mendatangkan impak dalam sesebuah masyarakat sehingga dikatakan mata pena itu lebih tajam dari mata pedang.

Perundingan adalah suatu lagi peranan yang dimainkan oleh ahli akademik. Kepakaran yang terdapat di universiti dapat dimanfaatkan kepada masyarakat melalui perkhidmatan perundingan. Melalui perundingan, ahli akademik sebagai individu atau kumpulan yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu akan memberikan khidmat nasihat kepakaran berkaitan dengan sesuatu program atau projek kepada pihak yang memerlukan. Contoh yang ada umpamanya untuk meningkatkan keupayaan pengurusan masjid, jabatan agama, meningkatkan sistem-sistem tertentu untuk memaju dan melancarkan urusan dakwah Islamiah dan sebagainya.

Ahli akademik juga berdakwah melalui khidmat masyarakat yang dilakukan. Bagi melaksanakan tanggungjawab sosial, ahli akademik telah memberi sumbangan perkhidmatan dalam bidang kepakaran masing-masing secara sukarela untuk kemajuan masyarakat. Khidmat sebegini memberi kesan yang besar menarik minat anggota masyarakat meminati Islam. Dakwah bil hal adalah pendekatan terbaik dalam seruan mengajak kepada Islam. Inilah faktor utama kejayaan dakwah Rasulullah s.a.w. dan dakwah awal kemasukan Islam ke Melaka dahulu.

Sebagai sasaran teramai di kampus, pelajar tidak terlepas dari perhatian para ahli akademik. Di samping menyumbang ke arah pencapaian cemerlang akademik pelajar, ahli akademik juga berperanan untuk membangunkan sahsiah dan penampilan diri mereka. Pembangunan pelajar hendaklah menyeluruh dan bersepadu meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi melahirkan pelajar cemerlang. Ahli akademik terlibat menjadi penasihat dan pembimbing untuk membangunkan pelajar supaya mempunyai ciri-ciri kepimpinan, pemikiran yang positif, minda yang sihat dan sahsiah yang mulia. Hasil mua’yasyah (hidup bersama) dalam proses didikan dan bimbingan (tarbiyah) selama beberapa semester, lahirlah anak-anak didik yang mewarisi amalan dakwah seterusnya. Pendakwah pelapis ini yang beristiqamah dengan tarbiyah yang diterimanya akan tersebar ke seluruh Negara sesudah bergraduat nanti.
Manfaat ilmu pengetahuan

Seperti dinyatakan di atas, tugas utama ahli akademik ialah menyampaikan ilmu melalui pengajaran. Mereka mengajar di dalam kuliah, tutorial, mengendalikan bengkel, perbincangan, di kampus dan di luar kampus. Di dalam komuniti mereka mengajar di kuliah maghrib dan subuh, menyampaikan khutbah, ceramah, dan syarahan, serta pelbagai kaedah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Ilmu-ilmu yang di ajar sama ada ilmu diniah atau bukan diniah . Setiap satu ilmu mempunyai tujuan tersendiri yang boleh menyampaikan kepada mengenali Allah, meningkatkan iman kepadaNya dan seterusnya mendorong melakukan amal untuk menjadi hamba Allah yang dikasihiNya.

Manfaat ulum al-Quran dan tafsir: Al-Quran merupakan sumber paling utama mengenai Islam. Semua ajaran Islam perlu kembali kepada rujukan al-Quran sama ada berkenaan aqidah, penentuan nilai, ibadat, akhlak perundangan dan sebagainya. Mempelajari al-Quran dan ulumnya seolah-olahnya memperolehi penyuluh dalam memahami kandungan dakwah keseluruhannya.

Manfaat mempelajari Sunnah Nabi dan ilmunya: Sunnah Nabi adalah sumber Islam yang kedua sesudah al-Quran. Ia menerangkan perkara yang tidak diterangkan oleh al-Quran, membataskan perkara yang dijelaskan secara umum oleh al-Quran dan sebagainya. Menguasai ilmu hadis membantu seseorang untuk beramal dengan ajaran Islam dengan tepat.

Manfaat ilmu fiqh: Dengan mempelajari ilmu fiqh, seseorang itu akan mengetahui hukum-hukum syarak berkaitan ibadat, muamalat dan adab. Menguasainya dengan baik membolehkan seseorang melakukan amalannya dengan sah sebagaimana dituntut daripadanya.

Demikian juga dengan ilmu aqidah mampu mengeluarkas seseorang dari kesesatan dalam beraqidah menuju kepada aqidah yang murni, ilmu tasauf membantu membangun syaksiah yang berakhlak mulia dan ilmu tarikh mampu mengenalkan orang-orang Islam dengan ibrah dari umat masa lalu sama ada yang berjaya atau yang ditumpaskan oleh Allah.

Manfaat ilmu kimia: dengan ilmu ini manusia dapat mengubah bahan alam menjadi sesuatu barangan yang berguna dan membantu kehidupan manusia. Manusia lebih memahami tentang alam sekitar dan proses yang terjadi di dalamnya. Manusia memahami gejala alam yang dijumpainya dalam kehidupan sehari-hari lantas merasai kehebatan Allah Taala.

Manfaat ilmu perubatan: Menggunakan ilmu perubatan manusia dapat menrawat penyakit yang dideritanya, memelihara dan menjaga kesihatannya, menganalisis gejala penyakit yang menyerangnya dan dapat meningkatkan kualiti hidupnya.Dengan itu mereka dapat beribadat dengan lebih baik kepada Allah.

Manfaat ilmu astronomi : Ilmu astronomi mengajar manusia mengetahui pergerakan, penyebaran, dan karakteristik benda-benda langit. Dengannya umat Islam dapat menentukan awal bulan puasa dan hari raya. Manusia dapat menentukan waktu berlakunya gerhana matahari atau bulan, penentuan arah kiblat dan membantu manusia mengetahui terjadinya siang dan malam.

Manfaat ilmu Geografi: Dengan ilmu geografi ini manusia mengetahui tentang perubahan iklim, membantu manusia dalam pertanian, pelayaran, dan memelihara kesehatan, Manusia megetahui tentang lapisan-lapisan atmosfera dan dampaknya terhadap kehidupan seharian manusia. Manusia mengetahui lapisan-lapisan bumi dan struktur bumi, laut dan isinya, sungai-sungai, dan lain-lain. Dengan maklumat itu, manusia dapat bercucuk tanam, berlayar, mencari sumber makanan dan sumber tenaga di laut. Hasil kekayaan yang diperolehi mampu meningkatkan kualiti hidup dan dapat mengeluarkan zakat.

Manfaat ilmu Matematik: Antaranya ia digunakan dalam bidang sains dan teknik, untuk penelitian masalah tingkah laku manusia serta untuk membantu manusia dalam berdagang dan bidang perekonomian. Ilmu matematik juga digunakan dalam bidang komputer dan dapat membantu manusia berpikir secara matematis dan logis. Dengan bilangan, manusia dapat menentukan kuanti dan dengan himpunan, manusia dapat berkelompok dan bersosialisi.

Demikianlah seluruh ilmu-ilmu yang lain seperti perakaunan, arkitektur, matematik, sejarah, dan sebagainya.

Perubahan Dalam Masyarakat

Melalui kegiatan pengajaran, menyampaikan ilmu, mendidik akhlak dan membentuk minda para pelajar mereka. Para ahli akademik telah mengubah pemikiran, sahsiah, watak dan cara hidup mereka dari taraf yang rendah menjadi tinggi, dari jahil menjadi bijaksana dan daripada tidak bertamadun kepada masyarakat berpencapaian tinggi. Inilah yang hendak dicapai melalui usaha dakwah iaitu perubahan. Melalui usaha dakwah ahli akademik tadi, masyarakat menjadi masyarakat yang berilmu dan semakin dekat dengan tuhan mereka.

Penutup

Ahli akademik sebenarnya telah melakukan tugasnya sebagai pendakwah semasa melaksanakan peranannya itu. Namun mungkin ada yang masih belum menyedarinya. Oleh itu hal ini perlu ditingkatkan kesedarannya melalui penentuan niat yang benar, memastikan bahawa setiap usaha yang dilakukan itu dihubungkan dengan dakwah serta menentukan matlamat membawa para pelajar kepada mendekati Allah melalui ilmu yang diperolehinya itu nanti.









Bibliografi
Abdul Ghafar Don, Berhanundin Abdullah dan Zulkiple Abd. Ghani. Cetakan Kedua 2007. Dakwah dan Pengurusan Islam di Malaysia: Konsep dan Pelaksanaan.. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-503-7

Abdul Karim Zaidan. 1987. Dasar-dasar Ilmu Dakwah. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.
Al-Bayanuni, Muhammad Abu Al-Fath (1993), Al-Madkhal Ila "Ilm Al-Da'wah,beirut: Al-Risalah.
Drs. Zulpan Nasution, xx Asas-Asas Dakwah & Pendidikan Islam, Pustaka Jahabersa, ISBN: 983-077-450-3
Fariza Md. Sham, Othman Hj. Talib & Siti Rugayah Hj. Tibek (sunt.) 2006.Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-774-9.

http://kuliahfilsafat.wordpress.com/2009/08/28/dampak-intelektual-ilmu-dan-teknologi/

http://www.seasite.niu.edu/trans/indonesian/Concordance/con-problematika_dakwah.htm
Ibnu Taimiyyah dalam Daqaiqut Tafsir 3/288-289
Keraf A. S. & Dua, M. (2001). Ilmu Pengetahuaan: Sebuah Tinjauan Filosofis. Yogyakarta: Kanisius.

Manfaat Ilmu. http://pengetahuanumum.com/2008/11/28/manfaat-ilmu/

Marzoeki, D. (2000). Udaya Ilmiah dalam Filsafat Ilmu. Jakarta: Grasindo.

Mohamad Shahir bin Hj. Abdullah, http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=469

Muhammad Abduh, Abdul Arham Mat (2009) Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah

Nor Raudah Hj. Siren, Yusmini Mohd Yusof, Mahmudah Hj. Nawawi (Penyunting) 2006. Dakwah Islam Semasa: Konsep dan Pelaksanaan Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. ISBN : 9831003411

RB. Khatib Pahlawan Kayo (2009)
Suhid, Asmawati (2005) Pemantapan Komponen Akhlak Dalam Pendidikan Islam Bagi Menangani Era Globalisasi. Jurnal Kemanusiaan . pp. 118-108. ISSN 1675 – 1930
Syaikh Abdul Aziz bin Bazz dalam kitabnya Fadhlu ad-Da'wah ilallah wa Hukmuha hal. 14-16:
Wan Mohd Nor Wan Daud. 2005. Falsafah Dan Amalan Pendidikan Islam, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti MalayaISBN : 9831002415
Yusuf al-Qaradhawi. 1407/1987. Thaqafat al-Daiyyat. Beirut: Muassasat al-Risalat.
Zaidan, Abdul Karim (1976), Usul Al-Da'wah, Beirut: Muassasah Al-Risalah.Abu Zahrah, Muhammad (t.t), Al-Da'wah Ila Al-Islam, Mesir: Al-Fikr Al-Arabi.
Zuhriah Mohamad Juoi Membina Akhlak Mulia ISBN: 983-077-009-5
Wan Ab Rahman Khudzri Wan Abdullah
Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia.
22 November 2009.

Isnin, 28 Mac 2011

Dakwah Orang Asli

Dakwah Orang Asli : Pengalaman Kelab PERKIM, UUM di Perkampungan Orang Asli Air Bah 1 & 2 Lenggong, Grik, Perak

(Dibentang di Seminar Kebangsaan Dakwah Saudara Kita, anjuran Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, pada 9-10 Oktober 2010, bertempat di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia)

Oleh :
Dr. Wan Ab Rahman Khudzri Wan Abdullah
Zaree Zakaria
Mohd Yusnaidi Md Sabri
Mohd Jelani Mohd Noor

Abstrak
Program Sinar Gemilang merupakan salah satu wasilah bagi Kelab PERKIM, UUM dalam usaha menyebar luaskan dakwah Islam kepada saudara-saudara baru iaitu anak-anak orang Asli serta menunjukkan cara hidup Islam yang sebenarnya kepada masyarakat di sana. Program ini bertujuan antaranya ialah memberi pendedahan kepada saudara baru berkenaan Islam serta pendidikan keagamaan yang akan memberi panduan kepada mereka untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian. Ianya juga bagi merealisasikan matlamat Kelab PERKIM, UUM dalam usaha dakwah di luar kampus. Selain itu, program ini dapat mewujudkan hubungan silaturahim di kalangan ahli Kelab PERKIM dengan masyarakat Orang Asli.

Pengenalan
Sebelum membincangkan projek dakwah dalam masyarakat Orang Asli tersebut di atas, kertas ini membincangkan sepintas lalu tentang konsep dakwah serta beberapa persoalan mengenainya.


Dakwah Islamiah
Menurut Abdul Karim Zaidan (1987) dakwah ialah panggilan ke jalan Allah seperti yang terkandung dalam firman Allah ayat 108 surah Yusuf, “katakanlah; “Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mngikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata”.

Dakwah adalah kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil manusia untuk beriman dan taat kepada Allah Subhaanahu wa Ta'ala sesuai dengan garis aqidah, syariah dan akhlak Islam. Kata dakwah merupakan masdar (kata terbitan) dari kata kerja da'a yad'u yang bererti panggilan, seruan atau ajakan. Kata dakwah sering dirangkaikan dengan kata "Ilmu" dan kata "Islam", sehingga menjadi "Ilmu dakwah" dan Ilmu Islam" atau ad-dakwah al-Islamiyah. (http://id.wikipedia.org/wiki/Dakwah)

Dakwah juga bermaksud ”usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia kepada mengenali Islam, menerima dan menghayatinya yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara dan pendekatan tertentu”. (Mohamad Shahir)

Tujuan utama dakwah ialah mewujudkan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat yang diredai oleh Allah. Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan contoh melakukan usaha dakwah kepada umatnya dengan berbagai cara melalui lisan, tulisan dan perbuatan. Dimulai berdakwah kepada isterinya, keluarganya, dan para sahabatnya hingga raja-raja yang berkuasa pada saat itu.

Dakwah juga bertujuan memberi bimbingan kepada manusia supaya menuju kepada keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Daripada usaha dakwah yang dilakukan, manusia diubah supaya berada dalam acuan Ilahi untuk menjamin kesejahteraan tersebut (Fariza et.al., 2006)

Hukum Berdakwah
Menurut Ibnu Taimiyyah, "hukum berdakwah ke jalan Allah adalah wajib ke atas setiap orang-orang yang mengikuti Nabi Muhammad SAW. Mereka merupakan umat Nabi Muhammad SAW. yang berdakwah ke jalan Allah seperti dakwah baginda SAW. Kewajiban ini merupakan kewajiban seluruh umat. Inilah yang dinamakan oleh para ulama sebagai fardhu kifayah; apabila sudah ada satu kelompok yang menegakkannya maka gugurlah kewajiban seluruh anggota masyarakat yang lainnya." Allah berfirman:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٠٤)

Ertinya "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan yang mencegah dari yang munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung." (Ali Imran: 104)

Menurut Bin Bazz, "para ulama menjelaskan bahawa berdakwah ke jalan Allah adalah fardhu kifayah , sekiranya tempat dan kawasan itu memerlukan kegiatan dakwah. Apabila sudah ada salah seorang yang menegakkannya, maka sudah mencukupi dan gugurlah kewajiban dakwah ke atas yang lain. Sebaliknya jika di suatu wilayah itu penduduknya tidak melakukan kegiatan dakwah dengan sempurna, maka semua penduduk tersebut berdosa dan semuanya dibebani kewajiban dakwah menurut kadar kemampuannya.

Ustaz Fathi Yakan dalam Maza Ya‘ni Intima’i Lil Islam menulis “Sebenarnya beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melainkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini. Seluruh amal ini dan lain-lain keperluan untuk amalan-amalan ini serta lain-lain perkara yang berkaitan yang dituntut oleh amal-amal ini adalah satu tuntutan syariat. Kewajipan melaksanakan tidaklah gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum muslimin.

“Selagi kekuasaan ini tidak wujud, maka seluruh kecuaian atau kecacatan para petugas amal Islam dan kecuaian orang yang tidak turut serta dalam kerja-kerja ini, menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.”

Unsur Dakwah
Untuk memastikan dakwah terlaksana, unsur-unsur atau rukun-rukun berikut mestilah wujud. Pertama, objek (subjek) dakwah. Kedua, juru dakwah (pendakwah). Ketiga, penerima dakwah (mad’u), dan keempat, metod serta media dakwah. (Zaidan, 1987)

Objek dakwah atau mauduk dakwah adalah perkara yang didakwahkan. Tentulah perkara yang diserukan ialah Islam dan seluruh kandungan ajarannya. Islam diseru supaya manusia beramal dengan seluruh perintah Allah. Inilah yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW sepanjang misi kerasulannya mengajar Islam, agama yang diredhai Allah SWT. (Ali Imran: 19)

Juru dakwah atau pendakwah adalah penggerak utama berlakunya usaha dakwah. Tanpa pendakwah, Islam yang indah, yang merupakan objek dakwah tidak akan tersebar. Oleh itu pendakwah yang berkesan sangat penting untuk kejayaan penyebaran Islam yang meluas. Bagi mencapai ini, para pendakwah perlu membina kekuatan dan keupayaan diri mereka supaya betul-betul kompeten. Beberapa persiapan penting yang perlu bagi seseorang pendakwah antara lainnya ialah memiliki ilmu yang luas, iman yang kuat dan mempunyai akhlak pendakwah yang tinggi. Dr. Yusuf al-Qaradhawi (1987) menyenaraikan tiga perkara perlu sebagai senjata para da’i iaitu senjata iman yang mantap, senjata akhlak yang ampuh dan senjata ilmu yang luas. Kalau ada yang keempat, ia adalah kekuatan dana.

Penerima dakwah atau disebut sebagai mad’u adalah sasaran kerja dakwah. Mereka adalah seluruh umat manusia seperti diisyaratkan dalam firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 157 dan surah Saba’ ayat 28 . Mereka mungkin terdiri dari kalangan al-mala’, jumhur, orang munafik, orang kafir, orang yang melakukan maksiat, orang jahil dan sebagainya. (Zaidan, 1987)

Metod berdakwah merangkumi peralatan dan kecekapan dalam melaksanakan kerja berdakwah. Kepandaian dan kemahiran berdakwah ini boleh diperolehi daripada sumber yang pelbagai seperti dari petunjuk al-Quran, sunnah rasulullah, sejarah orang terdahulu termasuk para sahabat, pendapat para fuqaha serta pengalaman masa lalu. (Zaidan, 1987)

Ciri-ciri Pendakwah
Bagi seseorang pendakwah, menyeru kepada kebaikan yang dia tidak melakukannya merupakan malapetaka yang besar. Malapetaka itu bukan hanya kepada para pendakwah sahaja tetapi akan memberi implikasi kepada dakwahnya. Keadaan itu akan membingungkan pemikiran orang ramai, kerana mereka mendengarkan kata-kata yang indah dan pada masa yang sama mereka menyaksikan perbuatan yang tercela, sehingga mereka menjadi bingung di antara perkataan dan perbuatan. Akhirnya semangat yang dipancarkan oleh akidah mereka menjadi redup, sinar yang dijelmakan oleh keimanan dalam hati mereka menjadi mati. Sudah tidak ada lagi kepercayaan kepada agama selepas hilangnya kepercayaan mereka kepada para pemimpin agama.
Demikianlah besarnya pengaruh kehadiran seseorang pendakwah dalam dunia ini. Bahkan ada kata-kata yang menyebut tanpa pendakwah, Islam yang indah tidak akan berkembang. Oleh itu para pendakwah perlu mempunyai ciri-ciri peribadi yang mantap untuk menjadikannya seorang yang berwibawa. Menurut Syeikh Dr ‘Ali Ab Halim Mahmud dalam kitabnya , Fiqh al-Dakwah al-Fardiyyah , seseorang pendakwah haruslah memiliki ciri-ciri berikut iaitu:
a. Ikhlas kerana Allah
b. Mempertingkatkan ilmu
c. Kena ada jalinan hubungan dengan Allah
d. Kena sealu mebaca kisah-kisah perjuangan orang-orang Islam yang terdahulu di kalangan para Nabi , sahabat, pejang-pejuan Islam dan lain lain
e. Kena selalu berdoa kpd Allah supaya bukakan hati manusia yang terlibat
f. Kena mempraktikkan Islam dalam hidup sebelum mengajak orang kepadanya
g. Bergabung dalam jamaah orang-orang Islam
h. Mengembangkan budaya ilmu dalam diri .
i. Mesti ada mentor yang dinamakan beliau sebagai qudwah mithaliyyah

Berdakwah Kepada Orang Asli
Masyarakat Orang Asli merupakan masyarakat pribumi yang mendiami kepulauan semenanjung Malaysia. Mengikut sejarah, kepulauan Melayu telah mula diduduki oleh manusia yang dipanggil Austronesian atau Malayo-Polynesia sekitar 5,000 tahun dahulu. Mereka ini dikatakan berasal daripada Selatan China (Yunan) dan Taiwan. Penghijrahan mereka ke selatan adalah secara ’sporadic’, ’irregular’ dan ’incremental’. Bermula dari Filipina menganjur ke pulau-pulau Indonesia sehingga ke penghujung tanah besar Asia, pulau-pulau Pasifik dan Madagascar.

Majoriti Orang Asli di Malaysia (termasuk kaum Bumiputera) yang menghuni kawasan Indo-Malaya sekarang ini adalah keturunan daripada manusia Austranesian awal ini. Hasil daripada Banci Penduduk JHEOA 2004, jumlah populasi Orang Asli Malaysia ketika ini ialah seramai 149,723 orang. Mereka terbahagi kepada tiga Kaum utama iaitu, Melayu Proto (Proto-Malay), Negrito dan Senoi yang membentuk 18 Rumpun Bangsa.

Perkembangan Islam dalam masyarakat Orang Asli bermula pada tahun 1980an apabila gerakan dakwah mula di giatkan ke kawasan pedalaman. Kebanyakan mereka yang memeluk agama Islam adalah hasil usaha para pendakwah yang tadak pernah letih dan jemu dalam usaha menyebarkan Islam. Pendakwah-pendakwah ini adalah terdiri dari pendakwah bebas, badan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ), Majlis Agama Negeri dan Badan bukan kerajaan. (Shamsulmuddin, 2010)

Method Dalam Dakwah Orang Asli
Menurut Shamsulmuddin (2010), dakwah adalah satu cabang ilmu yang dominan sifatnya. Keberkesanan dan kejayaannya bergantung kepada persembahannya yang mantap dan teruji. Oleh itu method serta pendekatannya haruslah praktikal. Aspek-aspek penting yang menyentuh persoalan pokok mengenai kehidupan, pemikiran, citarasa dan lain-lain unsur yang terangkum dalam alam budaya satu-satu etnik semestinya di fahami sebelum seseorang itu menampilkan diri di tengah-tengah kumpulan sasaran sebagai misi dakwah. Jika tidak sukar baginya untuk melaksanakan misi tersebut. Dalam kontek dakwah kepada kaum Asli, teknik dan pendekatan yang digunakan berbeza kerana suasana kehidupan, cara berfikir, persekitaran dan alam budaya mereka berbeza.

Beliau juga mengungkapkan pendekatan berdakwah kepada Orang Asli seperti terkandung di dalam buku Method Dakwah terbitan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Terdapat 5 tahap pendekatan yang digunakan sebagaiman berikut:

Tahap pertama: Mewujudkan suasana kemesraan yang erat dengan penduduk Asli. Sebagai contoh, Komunikasi menerusi pergaulan, lawatan rumah ke rumah, mengadakan majlis jamuan dan sebagainya. Pada tahap ini soal agama tidak di sentuh.

Tahap kedua: Pendakwah membuat intipan ke dalam hati kumpulan sasaran (Orang Asli) secara individu untuk mengenali samaada mereka punyai perasaan agama atau tidak. Ia dilakukan melalui perbualan tidak langsung dan semasa mereka kelihatan relaks. Contoh perbualan intipan, ”Apa pandangan kamu jika dunia tidak ada Matahari?” Atau, ”Boleh jadi suatu masa seluruh tanaman di dunia ini mogok tidak mahu mengeluarkan buah. Waktu itu apa akan jadi pada manusia dan kepada siapa mengharapkan pertolongan?”

Soalan ini akan mencetuskan rasa ingin tahu di kalangan mereka dan ingin dapatkan jawapan sebenar.

Tahap Ketiga : Mula menarik perbualan kepada isu agama dengan memperkenalkan apa sebenarnya agama Islam. Ia dilakukan umpamanya dengan membuat perbandingan antara agama Islam dengan agama-agama lain. Namun pada rumusannya perlu menegaskan agama Islam adalah untuk semua bangsa.

Perlu juga menjelaskan bahawa Islam itu agama yang mudah dan tidak berlawanan dengan fitrah kemanusiaan yang sedia ada dalam diri mereka.

Pada tahap ini perlu juga menyatakan amalan-amalan dan cara melakukan amalan-amalan wajib seperti sembahyang, puasa dan lain-lain.

Tahap Keempat: Setelah melalui tahap tiga, pendakwah harus memberi masa kepada kumpulan sasaran untuk berfikir dan membuat analisis sendiri tentang agama dalam tempoh tiga hari atau seminggu bergantung pada keadaan dan minat seseorang

Manakala pada pertemuan berikutnya, pendakwah meninjau pandangan komen mereka terhadap apa yang dibincangkan.Sekiranya jawapan positif, menunjukkan bahawa pintu untuk memujuk mereka kepada agama Islam mula terbuka. Mulai saat ini pendakwah perlu lebih kerap mendampingi individu berkenaan untuk memikat mereka kepad agama Islam.

Tahap Kelima: Memaklumkan kepada pihak yang berkenaan seperti Majlis Agama Islam untuk membuat lawatan dan penerangan khas kepada kumpulan sasaran yang mempunyai minat untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam dan berkecenderungan untuk memeluk Islam.

Setelah memeluk Islam satu tugas mencabar yang baru ialah untuk memastikan mereka menjadi Muslim yang baik, yang memahami ajaran Islam dan beramal secara istiqamah sebanyak mungkin ajaran tersebut. Inilah sebahagian pemantauan yang dilakukan di dalam Program Sinar Gemilang Kelab Perkim UUM.

Program Sinar Gemilang - Berdakwah Kepada Orang Asli
Program Sinar Gemilang siri ke 5 yang telah diadakan pada 8 hingga 11 Mei 2009 bertempat di Perkampungan Orang Asli RPS Air Bah 1 & 2 Lenggong, Grik. Perak Darul Ridhuan. Program ini dianjurkan oleh Kelab Perkim Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Pusat Islam UUM, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) negeri perak.
Matlamat utama program ini adalah untuk menyebar luaskan dakwah Islam kepada saudara-saudara baru iaitu anak-anak Orang Asli serta menunjukkan cara hidup Islam yang sebenarnya kepada masyarakat di sana.

Objektif
Secara khususnya apabila program ini dilaksanakan ia berhasrat mencapai objektif berikut:

a) Memberi pendedahan kepada saudara baru berkenaan Islam serta pendidikan keagamaan yang akan memberi panduan kepada mereka untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian.
b) Merealisasikan matlamat Kelab PERKIM dalam usaha dakwah di luar kampus.
c) Mewujudkan silaturahim di kalangan ahli Kelab PERKIM dengan masyarakat orang asli di samping memberi pendedahan tentang kepentingan ilmu agama kepada masyarakat di sana.

Alhamdulillah secara umumnya semua objektif yang digariskan untuk program ini dapat dicapai. Ahli Kelab PERKIM UUM telah berjaya menganjurkan suatu usaha misi dakwah di luar kampus. Program ini juga membolehkan hubungan dibina dengan pihak-pihak lain melalui bantuan yang diperolehi dari badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan. Usaha ini memberi kemahiran perhubungan dan pembinaan jaringan di kalangan ahli kelab dalam usaha menjayakan amal dakwah dalam masyarakat.

Hubungan silaturrahim antara peserta Program Sinar Gemilang 5 ini bersama masyarakat Orang Asli menampakkan kemajuan. Masyarakat Orang Asli terutamanya di kawasan jauh di atas bukit agak pemalu untuk berhadapan dengan masyarakat luar. Namun alhamdulillah, kehadiran peserta di sana telah diterima baik. Antara faktornya ialah kerana program siri ke 5 ini adalah susulan dari program siri ke 4 yang telah dilaksanakan pada bulan Febuari 2008 yang lalu dan kebanyakan peserta adalah peserta yang sama. Mereka masih dapat mengenali para peserta walaupun lebih setahun telah berlalu.

Dari segi penguasaan ilmu dan amalan Islam termasuk melaksanakan ibadat, memberikan gambaran bahawa usaha para pendakwah Islam masih banyak perlu dilakukan dalam kalangan orang Asli. Program Sinar Gemilang sekadar empat hari tidak mampu mengubah tahap peningkatan kefahaman dan amalan orang Asli di sini. Maklumat yang diperolehi, dalam tempoh setahun yang lalu dari Program Sinar Gemilang 4, Februari 2008, hanya ada satu program dakwah oleh para pendakwah Jabatan Agama ke kampung ini.

Walaupun pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) telah bertungkus lumus melaksanakan tugas dakwah, namun mereka sendiri mengalami kesukaran untuk bergerak ke beberapa ratus kampung masyarakat Orang Asli di seluruh Perak kerana bilangan mubaligh Islam yang bertugas terlalu kecil nisbahnya berbanding dengan jumlah kewujudan perkampungan Orang Asli di seluruh Perak.

Berhadapan dengan cabaran ini, tindakan-tindakan yang lebih berkesan perlu digembeling dan diteruskan melibatkan pelbagai pihak bagi menjayakan usaha dakwah kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Penyertaan
Program Sinar Gemilang 5 ini melibatkan seramai 80 penyertaan termasuk ahli Kelab PERKIM UUM, ahli Jawatan Pelaksana serta kakitangan dari Pusat Islam UUM. Program ini turut mendapat perhatian dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pusat Kesihatan Lenggong dengan menghantar beberapa wakil dari pihak mereka duduk bersama-sama kami dalam membantu melancarkan perjalanan program. Program ini mendapat penyertaan dari penduduk Orang Asli Kampung Air Bah 1dan 2 dari pelbagai peringkat usia dalam usaha mereka memeriahkannya.

Kekuatan Program
Program ini telah disertai oleh seramai 80 peserta ahli kelab Perkim UUM. Perserta ini adalah para pendakwah untuk menyantuni masyarakat Orang Asli sebagai para mad’u dalam program ini. Para pendakwah ini terasa mendapat kekuatan dengan sokongan dan dokongan pihak-pihak berikut:
a. Mendapat sokongan penuh oleh Timbalan Yang Di Pertua Perkim Kebangsaan iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Haji Ariffin Suhaimi serta beberapa pengiringnya. Beliau telah hadir dan merasai sendiri pengalaman bersama penduduk Orang Asli seterusnya merasmikan Program Sinar Gemilang kali ke 5 ini.

b. Unit Mubaligh Islam dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), telah hadir membantu sepanjang program seperti menguruskan kebajikan Orang Asli, penyediaan pengangkutan menuruni dan mendaki bukit, membeli bahan masakan dan turut memasak makanan untuk para peserta. Kehadiran Unit Mubaligh Islam dari JAIP seramai lebih kurang 15 orang benar-benar telah membantu para peserta.

c. Wakil dari wakil pegawai JAIP dan penasihat Kelab Perkim UUM turut hadir turun padang meninjau keadaan pada hari pertama program. Alhamdulillah, kehadiran mereka banyak memberi semangat kepada peserta untuk melakukan usaha dakwah yang terbaik bersama masyarakat Orang Asli di sana.

d. Semangat kami turut dilengkapkan dengan kehadiran beberapa orang ahli jawatankuasa Perkim Perak bagi meninjau keadaan serta memberi sokongan kepada peserta untuk meneruskan usaha dakwah selama 4 hari 3 malam.

e. Sokongan dan bantuan Pusat Islam, UUM dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang telah membantu dari segi tajaan makanan, kewangan dan tenaga yang dikerahkan.

Kerja dakwah yang dilakukan oleh para pendakwah di lapangan akan lebih berjaya jika mendapat sokongan dan dukungan pelbagai pihak terutamanya pihak yang bertanggung jawab.



Kelemahan Program
Walaupun program ini telah dapat dilaksanakan seperti yang dirancangkan namun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diambil pandang demi penambahbaikan program pada masa akan datang. Antara perkara yang perlu diberi penambahbaikan adalahseperti berikut:
a. Komitmen ahli jawatankuasa pelaksana: Ahli jawatan kuasa tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya kepada tugasan yang ditetapan kerana mempunyai kesibukan-kesibukan lain termasuk beban tugas akademik dan peperiksaan.

b. Perancangan kerja: Tugas dakwah merupakan tugas yang berat, maka ia memerlukan perancangan kerja bermula seawal mungkin, memerlukan ketelitian dan pembabitan yang menyeluruh. Ini kerana ia melibatkan banyak pihak, yang berada diberbagai tempat dan perlu berurusan pada masa yang berbeza-beza.

c. Kos. Program sebegini memerlukan perbelanjaan yang tinggi sedangkan sumbernya adalah terhad.

Pencapaian
Alhamdulillah, program ini merupakan program dakwah bil-hal yang memberangsangkan yang berjaya menghubungkan Kelab Perkim UUM dengan pelbagai pihak seperti Pusat Islam UUM, Perkim Kebangsaan, Perkim Negeri Perak, Kolej Perniagaan UUM, Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIP), Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Perak dan Jabatan Kesihatan Daerah Lenggong, Perak. Pihak-pihak ini telah memberi berbagai-bagai bantuan dan sumbangan kewangan, barangan dan sokongan yang benar-benar menyuntik semangat untuk meneruskan usaha dakwah ini.
Objektif utama ialah untuk mengubah cara hidup Orang Asli supaya mereka lebih mengaplikasikan nilai-nilai agama dalam kehidupan serta lebih mengambil berat aspek agama dalam hidup. Namun ia suatu yang sukar dicapai kerana, pendirian yang telah dipasak berpuluh tahun, masakan boleh diubah dalam beberapa hari sahaja. Walau bagaimanapun dengan kehadiran kami melalui program ini sejak setahun lalu sudah menampakkan peningkatan dari segi kesedaran beragama masyarakatOrang Asli di sana. Walaupun berada pada tahap yang rendah namun sudah ada beberapa pemuda orang asli yang mengikuti solat berjemaah, sudah ada wanita Orang Asli mengenakan pakaian menutup aurat yang lengkap, sudah ada kanak-kanak yang mula menghafal membaca sural Al-Fatihah.

Melalui program ini kesedaran mereka telah mulai timbul melalui program praktikal solat, ceramah dan sebagainya. Marilah kita terus berdoa dan berusaha agar lahirlah dari kalangan generasi masyarakat Orang Asli yang baru ini, masyarakat yang mula memikirkan soal agama dalam konsep kehidupan. Seterusnya biarlah generasi yang akan datang lebih baik dari generasi yang sediada sekarang ini dalam kesedaran dan melaksanakan ajaran agama dengan lebih meluas lagi.

Rujukan
Abdul Ghafar Don, Berhanundin Abdullah dan Zulkiple Abd. Ghani. Cetakan Kedua 2007. Dakwah dan Pengurusan Islam di Malaysia: Konsep dan Pelaksanaan.. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-503-7
Abdul Karim Zaidan. 1987. Dasar-dasar Ilmu Dakwah. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.
Al-Bayanuni, Muhammad Abu Al-Fath (1993), Al-Madkhal Ila "Ilm Al-Da'wah,beirut: Al-Risalah.
Drs. Zulpan Nasution, xx Asas-Asas Dakwah & Pendidikan Islam, Pustaka Jahabersa, ISBN: 983-077-450-3
Fariza Md. Sham, Othman Hj. Talib & Siti Rugayah Hj. Tibek (sunt.) 2006.Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-774-9.
http://kuliahfilsafat.wordpress.com/2009/08/28/dampak-intelektual-ilmu-dan-teknologi/
http://www.seasite.niu.edu/trans/indonesian/Concordance/con-problematika_dakwah.htm
Ibnu Taimiyyah dalam Daqaiqut Tafsir 3/288-289
Keraf A. S. & Dua, M. (2001). Ilmu Pengetahuaan: Sebuah Tinjauan Filosofis. Yogyakarta: Kanisius.
Manfaat Ilmu. http://pengetahuanumum.com/2008/11/28/manfaat-ilmu/
Marzoeki, D. (2000). Udaya Ilmiah dalam Filsafat Ilmu. Jakarta: Grasindo.
Mohamad Shahir bin Hj. Abdullah, http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=469
Muhammad Abduh, Abdul Arham Mat (2009) Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah
Nor Raudah Hj. Siren, Yusmini Mohd Yusof, Mahmudah Hj. Nawawi (Penyunting) 2006. Dakwah Islam Semasa: Konsep dan Pelaksanaan Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. ISBN : 9831003411
Suhid, Asmawati (2005) Pemantapan Komponen Akhlak Dalam Pendidikan Islam Bagi Menangani Era Globalisasi. Jurnal Kemanusiaan . pp. 118-108. ISSN 1675 – 1930
Syaikh Abdul Aziz bin Bazz dalam kitabnya Fadhlu ad-Da'wah ilallah wa Hukmuha hal. 14-16:
Shamsulmuddin b Ahmad Shah (2010) dalam http://ipesspirit.blogspot.com/2010/02/serulah-ke-jalan-tuhanmu-dengan-hikmat.html: ISLAM DALAM MASYARAKAT ORANG ASLI: SATU PERKEMBANGAN DI NEGERI KELANTAN
Wan Mohd Nor Wan Daud. 2005. Falsafah Dan Amalan Pendidikan Islam, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti MalayaISBN : 9831002415
Yusuf al-Qaradhawi. 1407/1987. Thaqafat al-Daiyyat. Beirut: Muassasat al-Risalat.
Zaidan, Abdul Karim (1976), Usul Al-Da'wah, Beirut: Muassasah Al-Risalah.Abu Zahrah, Muhammad (t.t), Al-Da'wah Ila Al-Islam, Mesir: Al-Fikr Al-Arabi.
Zuhriah Mohamad Juoi Membina Akhlak Mulia ISBN: 983-077-009-5

Ahad, 27 Mac 2011

DSSK 2010/2011 Semester kedua




Alhamdulillah, minggu lepas, 22 Mac 2011 berakhirlah sesi saya bersama kumpulan ke empat Diploma Siswazah Sains Koreksional. Program ini anjuran UUM bersama dengan Jabatan Penjara Malaysia untuk para pegawai Jabatan Penjara Malaysia. Ia dijalankan di Akademi Koreksional Langkawi. Seramai 17 pegawai mengikuti pengajian kali ini. Mereka akan bercuti sebulan sebelum memulai semester ketiga dengan berbaki dua kursus lagi.

Selamat maju jaya.